
PUTRAJAYA, 31 Ogos 2026 – Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 tampil memberikan penjelasan berhubung tanda tanya orang ramai mengenai ketiadaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada majlis sambutan di Dataran Putrajaya pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, pengurusan jemputan rasmi kerajaan persekutuan adalah tertakluk kepada tatacara yang dikendalikan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, berdasarkan amalan yang telah diguna pakai sejak tahun 2018, jemputan bagi Sambutan Hari Kebangsaan sememangnya tidak dipanjangkan secara automatik kepada mana-mana mantan Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kehadiran bekas-bekas pemimpin negara ke majlis sambutan berkenaan sama sekali tidak dihalang.
Sebaliknya, urusan kehadiran boleh diselaraskan menerusi permohonan pihak berkenaan mengikut tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang telah ditetapkan.
Dalam masa yang sama, Abdul Halim menjelaskan bahawa pihak urus setia telah menerima pemakluman rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung keberadaan Tun Dr Mahathir ketika ini.
Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir kini berada di luar negara bermula 28 hingga 31 Ogos 2026.
Pemergian beliau ke luar negara adalah berasaskan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan oleh Perdana Menteri.
Kelulusan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
Sehubungan itu, pihak Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 merakamkan penghargaan atas perhatian serta kefahaman semua pihak bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau spekulasi berterusan.
#HariKebangsaan2026 #TunMahathir #BeritaAAC #KementerianKomunikasi #IsuSemasa