
KUALA LUMPUR – Pihak yang gemar melemparkan tuduhan serta melabel UMNO sebagai ‘parti sakau’ ditegur agar tidak mengamalkan politik murahan dan menjatuhkan hukuman secara melulu tanpa pembuktian undang-undang yang jelas.
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar menegaskan bahawa tindakan melabel dan menghukum sesebuah pihak secara semberono bukanlah amalan politik yang matang.
Beliau turut mempersoalkan pihak lawan yang hanya menuding jari kepada isu-isu tertentu sedangkan banyak kes membabitkan tokoh pimpinan lain kelihatan sepi tanpa tindakan lanjut.
Sebagai contoh, beliau membangkitkan kes bekas Menteri Sumber Manusia dari DAP, V. Sivakumar, serta Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador / Shamsul Iskandar Akin yang pernah melalui proses siasatan dan reman.
Menurutnya, walaupun individu-individu terbabit pernah dipanggil dan disiasat pihak berkuasa, sehingga kini tiada perkembangan lanjut mahupun proses perbicaraan yang telus diperjelaskan kepada umum.
”Kalau nak cerita pasal ‘sakau’, sebenarnya ada banyak perkara yang perlu kita perjelaskan dan buka secara telus kepada rakyat,” katanya dalam satu temu bual.
Gulam menjelaskan bahawa naratif dan tagline ‘sakau’ yang berterusan dilaungkan tanpa fakta kukuh mencerminkan ketandusan modal politik pihak tertentu.
Beliau menyifatkan tindakan menyerang UMNO dengan label sedemikian sebagai langkah terdesak oleh pihak tertentu demi meraih kepentingan peribadi atau kelompok.
Malah, beliau menganggap strategi berkenaan tidak ubah seperti ‘ugutan politik’ (political ransom) untuk menekan dan mendapatkan tawaran terbaik dalam percaturan politik semasa.
Justeru, beliau mengingatkan agar landskap politik negara kembali kepada fakta dan undang-undang, bukannya sekadar persepsi liar yang bertujuan merosakkan reputasi pihak lawan.
#BeritaAAC #GulamMuszaffar #UMNOWilayah #PolitikMalaysia #IsuSemasa