
KUALA LUMPUR, 2 September 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim membidas gesaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu kesesakan jalan raya di ibu negara, sambil menyifatkan tindakan itu seperti berpura-pura lupa terhadap dasar-dasar kerajaan sedia ada.
Reaksi sinis itu hadir susulan kenyataan Teresa yang menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kajian aliran trafik selama enam bulan bagi menilai kapasiti infrastruktur dan pembangunan pesat di kawasan Parlimennya selepas sesi ‘Townhall’ di Bangsar baru-baru ini.
Gulam mempersoalkan mengapa Teresa tidak terlebih dahulu menuntut penjelasan daripada Menteri Wilayah Persekutuan berhubung status cadangan program diskaun kopi seawal pagi yang pernah dicanang sebagai solusi luar kotak bagi menyuraikan trafik pada April lalu.
”Soalan saya kepada YB Teresa Kok, sepatutnya bertanya apa sudah jadi dengan cadangan YB Menteri WP mengenai minum kopi Zus dengan harga diskaun di awal pagi atau waktu puncak di bawah ‘Inisiatif Bangun KL’.
”Bukankah itu dahulu dipromosikan sebagai cadangan yang bersifat think outside the box untuk membantu mengurangkan masalah trafik di Kuala Lumpur?” bidas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Gulam, krisis kesesakan jalan raya di ibu kota sebenarnya boleh dikurangkan antara 30 hingga 40 peratus sekiranya kerajaan serius mempertimbangkan perancangan terdahulu sewaktu era Barisan Nasional (BN).
Beliau merujuk kepada perancangan pada tahun 2016 di bawah kepimpinan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu yang bercadang memperkenalkan sistem pengangkutan tram di kawasan-kawasan strategik sekitar Kuala Lumpur.
Jelasnya, sistem tram moden seperti yang diamalkan di kota-kota besar Eropah jauh lebih menjimatkan kos, mesra alam sekitar, sifar pencemaran, serta berupaya memelihara nilai estetika landskap bandar raya.
Dalam pada itu, Gulam turut menggesa DBKL dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) membentangkan laporan kajian impak keberkesanan ‘Inisiatif Bangun KL’ selepas hampir enam bulan pelaksanaannya kepada orang ramai.
”Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhak tahu, adakah inisiatif itu berjaya atau tidak? Yang pasti untung sekarang hanyalah pemilik rangkaian kopi terbabit. Tolong kongsikan hasil kajian kepada rakyat,” tegas beliau.
#TrafikKL #BeritaAAC #SistemTramKL #InisiatifBangunKL #PolitikMalaysia