
KUALA LUMPUR, 2 September 2026:— Kementerian Kewangan (MOF) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ditempelak susulan kenyataan mendakwa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyifatkan dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan setiap kelulusan bajet projek kerajaan berada di bawah kawalan penuh MOF sendiri.
Menurutnya, isu sebenar yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukanlah isu ‘terlebih belanja’, sebaliknya komitmen bayaran tertunggak bagi projek yang telah pun diluluskan MOF sebelum ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang projek di bawah kementerian atau agensi kerajaan wajib memperoleh kelulusan bajet daripada MOF terlebih dahulu sebelum proses tender mahupun tawaran rasmi diteruskan.
”Bagaimana MOF boleh mengatakan KKDW terlebih belanja walhal mereka sendiri yang mengawal perbelanjaan setiap kementerian dan agensi kerajaan?
”Kata mudahnya, MOF yang luluskan, MOF juga yang mempersoalkan tindakan sendiri kenapa lulus dan terlebih belanja,” bidas Gulam dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut mengenai rungutan kontraktor yang terkesan, beliau menegaskan tanggungjawab utama MOF adalah mencari dana untuk melunaskan bayaran tertangguh, bukannya mengalihkan isu dengan menuduh kementerian lain.
Susulan pertikaian ini, Gulam turut mencabar MOF dan KSP untuk membentangkan secara telus perbelanjaan kesemua kementerian lain, khususnya yang diterajui oleh menteri daripada Pakatan Harapan (PH).
Langkah itu disifatkan wajar bagi membuktikan sama ada kementerian-kementerian lain benar-benar berdisiplin serta tidak berbelanja lebih seperti tuduhan yang dilemparkan kepada KKDW.
Gulam turut melahirkan kebimbangan bahawa polemik ini sengaja dicetuskan demi mencalarkan reputasi KKDW yang dipimpin oleh Presiden UMNO tersebut.
Menyifatkan kenyataan balas MOF sebagai tidak profesional dan tidak beretika, beliau mengingatkan agar pihak kementerian kewangan tidak bertindak ‘bermain mangsa’ (playing victim) kerana urusan waran peruntukan serta aliran pembayaran terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa mereka.
#MOFvsKKDW #BeritaAAC #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #UMNOBatu