
KUALA LUMPUR, 8 September 2026 – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) hari ini secara rasmi mengumumkan penganjuran acara kemuncak dwiprogram berimpak tinggi iaitu MAICCI Entrepreneur Summit 2026 dan MAICCI MUDRA Roadshow 2026, dijadualkan berlangsung pada Ahad, 20 September 2026 di Menara Berkembar Bank Rakyat, Brickfields bermula jam 9.00 pagi.
Presiden MAICCI, Dato’ Seri N. Gobalakrishnan memaklumkan bahawa sidang kemuncak itu bakal disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tuan Steven Sim Chee Keong, yang turut melibatkan sinergi pelbagai agensi kerajaan seperti SME Corp, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta TEKUN Nasional.
Menurut beliau, inisiatif ini merupakan kesinambungan siri jelajah MUDRA yang telah melangkaui lapan buah negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan, dengan merekodkan capaian lebih 2,500 usahawan bimbingan.
Mengulas mengenai perjumpaan bersama Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lalu, Gobalakrishnan menegaskan MAICCI telah mengusulkan cadangan berani untuk Belanjawan 2027 merangkumi peruntukan tahunan sebanyak RM1 bilion khusus bagi memperkasa usahawan India di seluruh negara.
“Kita bukan sahaja meminta bajet, malah mencadangkan penubuhan satu pusat sehenti (one center point) di bawah kendalian urus setia khas terus dengan Perdana Menteri agar setiap bantuan diselaraskan secara telus dan menepati sasaran reformasi ekonomi yang boleh diukur keberhasilannya,” tegas beliau.
Sementara itu, jawatankuasa penganjur menjelaskan bahawa edisi sulung (launch edition) sidang kemuncak ini dirangka khusus untuk memberi tumpuan terus kepada figura usahawan, berbanding hanya ekosistem keusahawanan secara teori.
Antara tarikan utama program tersebut ialah sesi perkongsian panel bersama tokoh korporat terkemuka serta sesi pembentangan perniagaan (pitching) berkonsepkan program realiti terkenal ‘Shark Tank’ yang diselaraskan oleh agensi berkaitan.
Daripada lebih 40 usahawan yang menyertai saringan, lima usahawan terbaik akan dipilih membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan panel penilai pada hari kemuncak untuk meraih akses pembiayaan khas berserta program bimbingan (mentorship) intensif secara terus.
Bagi menggalakkan penyertaan inklusif komuniti perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), pihak penganjur hanya mengenakan yuran komitmen simbolik serendah RM1 untuk hadir memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan dan membina jaringan niaga berimpak tinggi.
#BeritaAAC #MAICCI #UsahawanMUDRA #KUSKOP #Belanjawan2027