Ada pihak yang diberikan kuasa tetapi didakwa tidak menjalankan tanggungjawab seperti sepatutnya.
Demikian kata usahawan dan pengarah syarikat, Dr Nor Atiqah Mohamad Alwi yang bertahun berdepan proses perundangan dan turun naik mahkamah membabitkan pertuduhan kes syarikat A2 Wax Sdn. Bhd.
Nama A2 Wax Sdn Bhd mungkin tidak begitu dikenali ramai, namun syarikat itu kini menjadi perhatian susulan kes mahkamah yang membabitkan dakwaan penyalahgunaan wang serta isu pengurusan syarikat.
Kes itu masih dalam perbicaraan, dengan hampir separuh prosiding selesai dan dijangka berbaki kira-kira dua saksi sebelum pendengaran seterusnya pada Oktober.
“Seperti berita yang pernah disiarkan pada 2025, saya didakwa di mahkamah Terengganu membabitkan kes syarikat saya.
“Kes itu masih dalam prosiding dan saya diwakili peguam, Tuan Muhammad Rafique Rashid Ali. Setakat ini, perbicaraan sudah melalui hampir separuh proses dan mungkin berbaki dua saksi lagi.
“Buat masa ini, saya masih menunggu tarikh pada Oktober bagi sesi perbicaraan seterusnya. Untuk perkembangan lanjut mengenai kes itu, saya serahkan kepada peguam untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap sistem institusi kehakiman.
“Saya percaya sistem kehakiman kita dan berharap serta berdoa agar kes ini dapat dibicarakan secara adil dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Nor Atiqah turut menegaskan beliau hanya mahukan keadilan dan percaya kebenaran akhirnya akan diketahui melalui proses mahkamah.
Malah, kejadian ini membuatkannya lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan melibatkan urusan peniagaan.
“Selepas melalui proses ini, saya lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan kepada orang lain. Ia mengajar saya untuk menilai dengan siapa kita boleh meletakkan kepercayaan dan sejauh mana kepercayaan itu wajar diberikan.
“Dalam masa sama, saya menyedari bahawa saya mempunyai pekerja yang baik kerana mereka terus bersama saya ketika berdepan keadaan sukar,” luahnya lagi.
Terdahulu, Nor Atiqah dan suaminya didakwa atas kes penyalahgunaan wang milik syarikat A2 Wax Sdn. Bhd. sebanyak RM49,000 antara 29 Ogos hingga 23 November 2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang syarikat sebanyak RM7,000 pada 31 Januari 2022.
Pasangan ini didakwa mengeluarkan dan menggunakan cek tunai untuk membayar sewa premis di alamat sama yang didakwa merupakan kediaman mereka bertempat di Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Bagaimanapun, Nor Atiqah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.