KUALA LUMPUR, 9 September 2026 — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini mempamerkan kebangkitan dan semangat luar biasa apabila ribuan perwakilan serta pemerhati mula membanjiri ruang persidangan lebih awal dengan membawa harapan tinggi terhadap hala tuju parti.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari berkata, kemeriahan yang dipamerkan seawal hari pendaftaran membuktikan akar umbi hadir dengan iltizam kukuh untuk mendengar keputusan serta mandat penting daripada kepimpinan tertinggi parti.
Menurut beliau, takwim PAU bermula hari ini (9hb) bagi sesi pendaftaran dan taklimat presiden pada sebelah petang, disusuli persidangan sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO pada keesokan harinya.
”Apa yang luar biasa saya lihat kali ini adalah kemeriahannya. Para perwakilan dan pemerhati datang awal untuk memeriahkan suasana, malah mereka hadir dengan penuh harapan untuk melihat apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Presiden UMNO,” katanya ketika ditemui.
Rosni menegaskan, penantian itu bertitik tolak daripada momentum kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, yang menyuntik keyakinan baharu kepada seluruh saf kepimpinan serta akar umbi.
Justeru, kata beliau, tumpuan kini terarah kepada langkah strategik seterusnya, khususnya kesiapsiagaan jentera menghadapi PRN Melaka mahupun Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
”Sebaik sahaja berakhirnya PAU ini, kita telah dan perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN Melaka. Sama ada PRN Melaka atau PRU16, kedua-duanya menjadi penantian utama para perwakilan dan seluruh rakyat Malaysia,” jelas beliau.
Beliau turut berharap penganjuran PAU kali ini mampu memberikan impak yang kuat serta lonjakan moral kepada jentera parti di semua peringkat demi mendepani cabaran politik semasa.
Melihat kepada kehangatan sambutan yang ditunjukkan, Dewan Merdeka dijangka menjadi saksi penyatuan strategi terpenting UMNO dalam memacu kestabilan politik negara menjelang pilihan raya akan datang.
#PAU #WanitaUMNO #PRNMelaka #PRU16 #BeritaAAC