KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris, menempelak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa terus memberi alasan berhubung bebanan hutang negara serta terlalu memberi tumpuan kepada retorik ‘isu sakau’ berbanding menyelesaikan masalah ekonomi sebenar rakyat.
Menurut beliau, Anwar sepatutnya sudah bersedia dengan formula ekonomi yang konkrit sejak sebelum mengambil alih tampuk pimpinan, memandangkan beliau diangkat menjadi Perdana Menteri atas mandat dan harapan rakyat yang sedang berdepan kesempitan hidup.
Mengulas pelaksanaan subsidi minyak bersasar, Irwan menyuarakan kebimbangan terhadap had liter yang tidak realistik kerana rakyat bukan sahaja menggunakan petrol untuk memandu, malah untuk jentera sara hidup seperti mesin rumput dan gergaji berantai (chainsaw).
Justeru, beliau menyarankan kerajaan memberikan kuota siling sekurang-kurangnya 500 liter sebulan bagi setiap warganegara berasaskan kad pengenalan tanpa mendiskriminasi mereka yang tidak mempunyai lesen memandu, bagi mengelakkan lonjakan kos operasi yang akhirnya menolak naik harga barang.
Dalam pada itu, Irwan turut meluahkan rasa terkilan terhadap sikap kerajaan yang didakwa berbangga mencatat rekod kutipan cukai sehingga RM203 bilion, namun seolah-olah ‘berkira’ dan tidak ikhlas untuk mengembalikannya kepada kebajikan rakyat dan sektor perniagaan.
Beliau yang juga seorang usahawan berkongsi bukti beban kos operasi yang semakin menghimpit perniagaannya, termasuk kenaikan bil elektrik daripada sekitar RM100,000 kini melambung sehingga RM400,000, di samping tunggakan cukai lebih RM158,000 yang dituntut oleh pihak kerajaan.
Tegasnya, golongan peniaga atau kelompok berpendapatan tertentu (T20) tidak wajar dipinggirkan daripada menikmati kemudahan subsidi kerana merekalah pembayar cukai tegar serta penyedia peluang pekerjaan terbesar dalam pasaran domestik.
Irwan turut menyelar ketidaktelusan data yang sering dipetik pihak pentadbiran dan menggesa Belanjawan yang bakal dibentangkan nanti tidak dijadikan ‘bajet pilihan raya’ semata-mata, sebaliknya bajet komprehensif bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat terjamin.
Selain aspek ekonomi, beliau turut mengkritik pelantikan barisan Kabinet yang dianggap tidak mengamalkan prinsip meletakkan individu tepat pada tempatnya (put the right person in the right place), termasuk melantik ahli politik yang tewas dalam pilihan raya menerusi lantikan Senator.
Beliau mencadangkan agar kementerian kritikal seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diserahkan kepada bekas pegawai kanan keselamatan yang berpengalaman, seperti pesara jeneral tentera atau bekas Ketua Polis Negara, berbanding dijadikan habuan politik.
Menyentuh kes mahkamah melibatkan tokoh politik, beliau mengingatkan pemimpin agar membersihkan nama sendiri di mahkamah terlebih dahulu dan tidak berselindung di sebalik naratif anti-sakau demi menutup kelemahan pentadbiran semasa.
#BeritaAAC #PERKASA #SubsidiBersasar #EkonomiMalaysia #IsuRakyat