KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menegaskan sayap parti itu kini bukan lagi sekadar pelengkap atau ‘tulang belakang’ di belakang tabir, sebaliknya menuntut ruang yang adil dalam membuat keputusan dasar negara dan pencalonan pilihan raya.
Berucap dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, beliau menegaskan gesaan representasi 30 peratus wanita tidak boleh lagi tinggal sebagai retorik di atas kertas semata-mata setiap kali tiba musim pemilihan calon.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Noraini mengumumkan inisiatif strategik ‘Laluan 30’ dan penubuhan ‘Talent Bank’ atau Bank Bakat Wanita UMNO yang disokong oleh Pusat Kecemerlangan Wanita (DELIMA) bagi menyaring, melatih serta mengetengahkan calon berpotensi ke peringkat Parlimen mahupun DUN.
Beliau turut menekankan kedudukan UMNO dalam kerajaan hari ini, mengingatkan mana-mana pihak bahawa parti tersebut bukan ‘penumpang’ dalam kestabilan politik negara, sebaliknya memegang rekod memacu kemajuan dan pembangunan negara sejak sekian lama.
Menyentuh soal persefahaman politik, beliau menggariskan lima prinsip Wanita UMNO dalam mendepani sebarang bentuk kerjasama iaitu tidak menggadaikan asas perjuangan, memelihara maruah parti, menjamin kestabilan negara, tidak meminggirkan masyarakat majmuk, dan tidak sesekali mengabaikan suara akar umbi.
Noraini turut melahirkan rasa bangga atas kebangkitan semula sokongan rakyat yang diterjemahkan melalui kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri terdahulu, khususnya kemenangan besar 40 daripada 56 kerusi di Johor serta kemenangan penuh di Dewan Undangan Negeri Melaka.
Dalam ucapan yang menyentuh emosi perwakilan, beliau turut menzahirkan penghargaan mendalam terhadap jasa dan sumbangan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menegaskan UMNO tidak perlu memadamkan sejarah demi membina masa depan.
Bagi mendekati rakyat secara menyeluruh, Wanita UMNO terus memperkasa gerak kerja akar umbi melalui JR Digital, inisiatif PR10, penganjuran ‘Voices of Her’, Laman Wanita Kreatif, serta program sokongan emosi anak muda ‘Sahabat Nurani’.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru seluruh jentera Wanita UMNO agar bangkit menjadi pencipta ‘Gelombang Kepercayaan’ rakyat, bukan sekadar menunggu gelombang itu datang, demi menjamin kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum akan datang.
#BeritaAAC #WanitaUMNO #PAU #NorainiAhmad #GelombangKepercayaan