KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Spekulasi mengenai status permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya terjawab apabila perkara tersebut disahkan bakal dibincangkan dalam persidangan Lembaga Pengampunan.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Dato’ Hasnal Rezua Merican mengesahkan laporan yang sebelum ini disiarkan oleh media arus perdana mengenai persidangan tersebut yang dijadualkan berlangsung esok pagi.
Menurut beliau, permohonan pengampunan yang difailkan oleh Najib merupakan salah satu agenda rasmi yang tersenarai untuk dipertimbangkan oleh badan berkenaan.
Bagaimanapun, Hasnal menegaskan bahawa tiada pihak yang boleh membuat sebarang spekulasi mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan atau kembali ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.
Jelas beliau, semua pihak perlu menghormati bidang kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
”Kita tidak boleh mendahului Lembaga Pengampunan yang akan dipersidangkan sendiri oleh Baginda. Sebagai menghormati kedudukan Baginda sebagai pengerusi sidang, kita jangan mendahului apa jua keputusan,” katanya dalam satu temubual.
Mengulas mengenai bentuk pengampunan sama ada membabitkan pelepasan penuh atau tahanan rumah, Hasnal memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang butiran terperinci mengenainya.
Namun begitu, beliau tidak menolak harapan peribadinya serta ahli parti agar bekas Presiden UMNO berkenaan diberikan pelepasan mutlak.
Hasnal berpandangan bahawa tempoh hukuman penjara selama empat tahun yang telah dilalui oleh Najib sudah memadai untuk melayakkan beliau menerima pengampunan penuh.
Justeru, beliau melihat hukuman berbentuk peralihan atau penahanan di rumah tidak lagi diperlukan dalam kes ini.
”Harapan saya ialah beliau diberi pengampunan penuh. Tak perlu lagi keputusan atau hukuman transit seperti penahanan rumah dan sebagainya kerana beliau telah pun berada di penjara selama empat tahun,” tambah beliau lagi.
#NajibRazak #LembagaPengampunan #BeritaAAC #HasnalRezua #PolitikMalaysia