KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Sayap pemuda DAP (DAPSY) ditempelak susulan tindakannya mempertikaikan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan penawaran serta tajaan penuh kepada 27 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi sesi akademik akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyifatkan kritikan DAPSY itu sebagai tidak berasas, memperlihatkan sikap “buta data”, dan membuktikan mereka gagal membuat semakan menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan kepada umum.
Menurut beliau, dakwaan kononnya KPT meminggirkan ribuan pelajar lain demi 27 individu terpilih adalah naratif dangkal yang sengaja memutarbelitkan usaha murni Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Gulam menjelaskan, rekod rasmi KPT bagi sesi akademik 2026/2027 jelas menunjukkan sebanyak 107,875 permohonan yang layak telah diterima oleh kementerian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 82,092 calon berjaya ditawarkan tempat di 20 Universiti Awam (UA), merangkumi kadar kemasukan setinggi 76.1 peratus daripada keseluruhan pemohon yang layak.
Angka rasmi berkenaan menurutnya adalah bukti kukuh bahawa sistem kemasukan universiti awam kekal adil dan tidak sama sekali lumpuh hanya kerana kerajaan meraikan 27 bakat terbaik negara.
Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan mengapa DAPSY bersikap memilih bulu dan hanya lantang apabila inisiatif tersebut melibatkan kepimpinan kementerian tertentu.
Beliau memberi contoh inisiatif Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang sebelum ini meluluskan program lesen B2 percuma bernilai RM18 juta kepada 60,000 pelajar, tanpa ada tuduhan kononnya ratusan ribu pelajar lain diabaikan.
Situasi sama turut melibatkan kelulusan khas inisiatif keusahawanan melalui Tekun, AIM, dan Bank Rakyat oleh Steven Sim, yang langsung tidak wajar dilabel menafikan hak jutaan peniaga kecil lain.
Tegas Gulam, sikap segelintir pemimpin politik yang gemar mencari salah ini ibarat pepatah lama: “bodoh tidak bertempat, pandai tidak boleh diikut” kerana perkara positif pun mahu dipolitikkan secara sempit.
#BeritaAAC #DAPSY #KPT #ZambryKadir #PolitikMalaysia