KUALA LUMPUR, 27 September 2026 – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menerusi Sekretariat #RCINOW dan kempen #HentiBungkamNGO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa semakin agresif mengintimidasi dan menahan aktivis pembela hak asasi manusia.
Tindakan itu dilihat memuncak susulan penahanan Amir Abd Hadi (MANDIRI) dan Dobby Chew (HAYAT) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, yang disifatkan sebagai langkah pembungkaman bermotifkan politik.
Menurut sekretariat berkenaan, siri penahanan dan pembekuan akaun bank aktivis serta organisasi mereka merupakan manifestasi kegagalan kerajaan menangani pelbagai skandal besar, termasuk dakwaan kewujudan “mafia korporat” dan isu pemilikan saham yang belum terungkai.
”Ini adalah satu hipokrasi dan layanan dua darjat oleh kerajaan yang menyasarkan aktivis, namun membiarkan golongan koruptor terus berjalan bebas,” tegas kenyataan gabungan itu dalam perhimpunan solidariti hari ini.
Kumpulan itu turut menggariskan tiga tuntutan utama kepada pentadbiran semasa sekiranya berhasrat untuk terus mengekalkan keyakinan dan mandat rakyat:
Pertama, mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang telus dan bebas bagi menyiasat laporan pendedahan antarabangsa berhubung dakwaan penglibatan pegawai penguat kuasa dalam sindiket “mafia korporat”. Mereka menegaskan hasil siasatan RCI wajib diumumkan kepada umum tanpa kompromi.
Kedua, menuntut penamatan serta-merta amalan keadilan dua darjat. Sekretariat menyelar layanan istimewa, proses sewajarnya (due process), serta ‘belas ihsan’ yang diberikan kepada elit politik berpengaruh berbanding nasib rakyat biasa dan banduan uzur yang dinafikan hak perwakilan undang-undang sewajarnya.
Ketiga, menggesa kerajaan menghentikan penggunaan instrumen perundangan menindas seperti AMLA, Akta Hasutan 1948, SOSMA dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) untuk menyekat kebebasan bersuara serta menutup mulut pengkritik dasar awam.
Sekretariat itu mengingatkan bahawa cubaan menakut-nakutkan masyarakat sivil hanya akan membakar semangat perjuangan rakyat, sebagaimana dibuktikan menerusi aksi berkhemah di luar lokap polis baru-baru ini sehingga pembebasan rakan mereka berjaya dicapai.
Mengakhiri kenyataan, mereka menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak berdiam diri, sebaliknya bersatu melawan salah guna kuasa dan kebobrokan pentadbiran sebelum ruang kebebasan awam terus terhakis.
#HentiBungkamNGO #RCINOW #LawanMafiaKorporat #KeadilanDuaDarjat #KuasaRakyat