MELAKA, 13 November 2026: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menyeru seluruh jentera parti agar tidak terlalu selesa dengan ramalan kemenangan besar, sebaliknya terus menggandakan gerak kerja sehingga pusat pengundian ditutup jam 6 petang esok.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia berkata demikian ketika mengulas dapatan terkini Ilham Centre yang meramalkan gabungan itu berpotensi memenangi sehingga 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menurut beliau, pelbagai kemungkinan luar jangka boleh berlaku sepanjang hari pengundian berlangsung, termasuk faktor cuaca hujan serta kesesakan lalu lintas yang berisiko menjejaskan peratusan keluar mengundi.
”Memang betul kita jangan selesa dan perlu terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan kemenangan mutlak. Dari jam 8 pagi hingga 6 petang esok, macam-macam perkara boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kempen terakhirnya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Maslan menggesa seluruh pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka lebih awal pada sebelah pagi, khususnya sebelum jam 12 tengah hari bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Mengulas mengenai gerak kerja kempen sepanjang tempoh berkempen, beliau melahirkan rasa amat berpuas hati apabila berjaya menyantuni kesemua 28 kawasan DUN di negeri itu, termasuk menyertai program di 27 DUN serta singgah di DUN Kota Laksamana.
Tambahnya, walaupun tempoh berkempen secara rasmi akan berakhir malam ini, jentera parti masih mempunyai peranan penting esok untuk membantu membawa serta mengeluarkan 100 peratus ‘pengundi putih’ ke pusat pengundian menggunakan pelbagai kemudahan kenderaan.
”Kita hendaklah keluarkan 100 peratus pengundi putih yang telah dikenal pasti akan mengundi kita. Itu perkara paling penting bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera tempatan atas komitmen tinggi dalam mengatur kelancaran kempen di peringkat akar umbi.
Menyampaikan rayuan terakhir kepada rakyat Melaka, Ahmad Maslan berharap momentum kemenangan yang dicapai di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini dapat diteruskan di bumi Hang Tuah.
”Biarkan gelombang biru itu terus bergerak dari Johor ke Negeri Sembilan, dan seterusnya sampai ke negeri Melaka ini. Insya-Allah, kita mampu menawan Melaka,” ujarnya.
#PRNMelaka #AhmadMaslan #GelombangBiru #BeritaAAC #UndiAwal