KUALA LUMPUR, 27 September 2026 — Tragedi hitam yang meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap krisis keselamatan institusi pendidikan negara yang kian meruncing.
Insiden malang yang dikaitkan dengan unsur buli ini mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan rakyat mengenai keberkesanan langkah pencegahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Wilayah Persekutuan, Aathava, mempersoalkan sikap pentadbiran KPM dan pihak sekolah yang dilihat masih mengekalkan budaya reaktif berbanding proaktif.
Menurut beliau, tindakan tegas hanya diambil selepas berlakunya insiden maut, sedangkan aduan berhubung isu buli di seluruh negara sering kali dilaporkan namun kerap dipandang sepi oleh segelintir pengurusan sekolah.
”Mengapa harus berlaku kematian baru kerajaan melalui KPM nak ambil tindakan? Adakah nyawa anak-anak bangsa perlu melayang, atau ada yang hampir lumpuh dan trauma teruk terlebih dahulu, barulah pihak berkuasa tersedar dari lena?” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Aathava menggariskan tuntutan agar KPM di bawah kepimpinan menteri menghentikan amalan sekadar mengeluarkan kenyataan duka atau siasatan dalaman selepas tragedi, sebaliknya menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan buli secara telus dan ketat di semua sekolah serta asrama.
Beliau turut menegaskan perlunya tindakan tegas terhadap pentadbir sekolah mahupun guru kaunseling yang culas mengambil tindakan terhadap laporan awal demi menjaga reputasi institusi.
”Budaya ‘menyapu masalah di bawah permaidani’ demi menjaga nama baik sekolah wajib dihentikan serta-merta,” tambah kenyataan itu lagi.
Dalam masa yang sama, Aathava menggesa agar warga pendidik di barisan hadapan diberikan perlindungan undang-undang, sokongan penuh, dan mandat disiplin yang jelas tanpa tekanan politik agar mereka dapat menjalankan amanah mendidik tanpa rasa bimbang.
#HentikanBuli #KPM #SuaraPendidik #KeselamatanSekolah #BeritaAAC