KUALA LUMPUR, 27 September 2026 – Parti Makkal Sakti Malaysia menggesa Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada Kerajaan MADANI ekoran rasa tidak puas hati peringkat akar umbi terhadap layanan dan kenyataan pimpinan kerajaan ketika ini.
Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menegaskan, gesaan tersebut merupakan antara empat resolusi utama yang diluluskan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti itu yang ke-18.
Beliau menyatakan bahawa kenyataan berbaur penghinaan seperti penggunaan istilah “sakau” dan “bangang” yang sering dilontarkan oleh Perdana Menteri secara terbuka telah mengguris hati para penyokong di peringkat akar umbi BN.
Menurut Thanenthiran, siasatan serta tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa kelihatan bersifat terpilih kerana hanya memberi tumpuan kepada pemimpin BN dan UMNO, manakala isu melibatkan pihak lain seolah-olah dipinggirkan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan angka pelaburan berbilion ringgit yang diuar-uarkan kerajaan, sedangkan kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan terus menunjukkan peningkatan ketara.
Selain itu, Makkal Sakti mendesak kerajaan melaksanakan titah adendum dan perintah Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Thanenthiran menyifatkan keengganan atau kelewatan pihak kerajaan mematuhi titah berkenaan sebagai satu bentuk tindakan biadab dan menderhaka kepada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut mengungkit kenyataan penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Persekutuan yang memperakui bahawa Datuk Seri Najib dinafikan hak perbicaraan yang adil.
Mengulas mengenai laungan reformasi, beliau menyifatkan agenda tersebut kini telah hilang arah sehingga dianggap sebagai ‘reforbasi’ dan ‘reformati’ berikutan pemergian pengasas-pengasas awal perjuangan itu.
Beliau menambah, rakyat kini semakin tertekan dengan lonjakan kos sara hidup yang melampau, merangkumi kenaikan tarif, harga bahan api, serta barangan keperluan asas seperti telur dan tomato.
Thanenthiran memberi amaran bahawa gelombang kebangkitan rakyat bakal dizahirkan di peti undi bermula dari Sabah, Johor, Negeri Sembilan, hingga ke Melaka bagi menuntut perubahan pentadbiran.
Beliau menegaskan, Makkal Sakti tidak menyimpan dendam sebaliknya hanya menyuarakan kebenaran demi masa depan rakyat dan negara.
#MakkalSakti #KerajaanMADANI #TolakMADANI #BebasNajib #BeritaAAC