
KUALA LUMPUR, 28 September 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama sebuah keluarga merayu campur tangan segera pihak berkuasa bagi menyelamatkan seorang pemuda tempatan, Alif Azrin, yang disyaki ditahan dan dieksploitasi oleh sebuah sindiket jenayah di Taiwan.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim mendedahkan bahawa mangsa diperdaya oleh seorang ejen tempatan yang dikenali sebagai ‘Mr. A’ kononnya untuk bercuti di Taiwan, sebelum akhirnya disekat dan dipaksa menjadi ‘runner’ bagi pengeluaran wang tunai di mesin ATM bagi sindiket penipuan (scam).
Menurut Hishamuddin, sindiket di Taiwan kini terpaksa membawa masuk mangsa dari Malaysia berikutan hukuman undang-undang di Taiwan terhadap warga tempatan mereka amat berat iaitu hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding di Malaysia yang sebahagian besarnya hanya melibatkan denda.
”Sindiket cuba memaksa mangsa membuat pengeluaran wang di ATM, namun mangsa enggan bekerjasama. Akibatnya, pasport serta wang tunai mangsa dirampas, pergerakannya dikawal rapi, dan dia kini dieksploitasi sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang media.
Ibu mangsa, Puan Ju, dalam nada sebak menceritakan kali terakhir dia dihubungi anaknya adalah pada waktu malam apabila mangsa merayu diselamatkan serta meminta wang sebanyak RM7,000 yang dipercayai dituntut sindiket sebagai wang tebusan.
Puan Ju turut memberitahu bahawa anaknya tidak pernah ke luar negara sebelum ini dan hanya dimaklumkan mangsa mahu bercuti ke Taiwan bersama seorang rakan, namun setibanya di sana mereka telah diasingkan ke dua lokasi berbeza oleh pihak sindiket.
MHO menzahirkan kebimbangan mangsa yang dipercayai berada di sekitar Taipei bakal berdepan tindakan undang-undang keras oleh pihak berkuasa Taiwan sekiranya dipaksa melakukan jenayah tersebut sebelum sempat diselamatkan.
Sehubungan itu, Dato’ Hishamuddin memberi tempoh amaran selama tujuh hari kepada ‘Mr. A’ serta ketuanya (mastermind) untuk membawa pulang mangsa ke tanah air dengan selamat.
”Identiti anda kami sudah ada. Jangan ingat anda boleh lepas dengan alasan mangsa rela pergi. Di bawah Seksyen 16 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, kerelaan mangsa adalah tidak relevan sekiranya berlaku eksploitasi,” tegas beliau.
Sekiranya gagal, pihak MHO menegaskan laporan rasmi beserta identiti penuh dalang terbabit akan diserahkan terus kepada Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman untuk tindakan pendakwaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda sehingga RM1 juta.
MHO turut menyeru rakyat Malaysia sama ada di tanah air atau yang berada di Taiwan serta pihak Wisma Putra dan pejabat perwakilan di Taiwan agar membantu menyalurkan sebarang maklumat bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa dengan kadar segera.
#BeritaAAC #KeldaiATM #SindiketTaiwan #SelamatkanAlif #HentikanPemerdaganganOrang