KUALA LUMPUR, 27 September 2026 – Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hariri Abdul Hadi, menyelar tindakan pihak berkuasa yang mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara serta pembekuan akaun peribadi dan organisasi terhadap aktivis masyarakat sivil, menyifatkannya sebagai satu bentuk intimidasi yang bermotifkan politik.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan NGO dan parti progresif yang terus bersolidariti sewaktu beliau dan rakan-rakannya ditahan pihak berkuasa. Mengulas latar belakang insiden itu, Amir Hariri menjelaskan bahawa tekanan tersebut mula memuncak selepas pihaknya menganjurkan Himpunan Tangkap Azam Baki sebanyak dua kali pada April lalu.
Amir menegaskan bahawa isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bukanlah perkara baharu, malah para pemimpin kerajaan hari ini—termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim—dahulu pernah turun ke jalan raya mendesak peletakan jawatan tokoh berkenaan.
”Tetapi apabila mereka mentadbir negara, kontrak Azam Baki disambung bukan sekali, bukan dua kali, malah tiga kali. Tiada satu pun isu baharu yang kami reka; apa yang kami kempenkan adalah sama seperti apa yang mereka suarakan dahulu,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan tular di TikTok yang menuduh MANDIRI menerima dana asing dan membiayai tentera siber untuk menjatuhkan kerajaan. Amir sebaliknya mendakwa huru-hara sebenar berlaku apabila terdapat cubaan melindungi ‘mafia korporat’ dan tindakan provokasi membakar mercun sewaktu himpunan aman yang sehingga kini tiada dalang dihadapkan ke muka pengadilan.
Mengulas mengenai serbuan ke pejabat MANDIRI atas alasan siasatan ‘wang mencurigakan’, beliau menegaskan bahawa wang mencurigakan bukan satu kesalahan jenayah selagi tiada kaitan dengan aktiviti haram atau keganasan. Beliau mengecam amalan menahan dan membekukan akaun terlebih dahulu sebelum mencari kesalahan predikat (predicate offense).
”Jika kerajaan hari ini boleh mengimbas sesiapa sahaja, membekukan akaun dan menahan orang dalam lokap sebelum mencari kesalahan, ini menetapkan satu duluan (precedent) yang sangat bahaya kepada seluruh rakyat,” tegas Amir.
Amir turut mengingatkan pemimpin kerajaan bahawa mereka pernah berada di pihak yang sama menentang rasuah dan menuntut reformasi pada masa lalu. Beliau melahirkan kekecewaan mendalam terhadap kegagalan memansuhkan undang-undang drakonian serta reformasi institusi yang dijanjikan, sehingga istilah itu disifatkannya kini menjadi ‘reformati’.
Menyentuh soal sokongan politik, Amir mengingatkan bahawa majoriti rakyat dan aktivis yang hadir menyokong mereka hari ini adalah individu yang sama mengundi kepimpinan semasa dalam pilihan raya terdahulu. Beliau memberi amaran bahawa sokongan tersebut tidak akan berulang sekiranya kerajaan terus menindas suara rakyat.
Amir menegaskan bahawa masyarakat sivil tidak bersuara demi mengejar jawatan politik atau projek kerajaan, sebaliknya mahu negara bebas daripada rasuah, penyelewengan, dan pemimpin yang tidak amanah. Beliau menegaskan bahawa suara rakyat tidak akan sesekali dapat didiamkan walau apa jua bentuk penahanan atau tindakan mahkamah yang bakal diambil.
#BeritaAAC #TangkapAzamBaki #SuaraRakyat #MANDIRI #Reformasi