KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 — Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Polis Negara bagi mendesak penyelarasan siasatan menyeluruh berhubung kes-kes membabitkan individu yang mendakwa dimanipulasi sebagai ‘keldai akaun’.
Langkah tersebut diambil susulan kehadiran sejumlah mangsa yang mendakwa akaun perbankan milik mereka dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab bagi transaksi sindiket penipuan dan jenayah komersial tanpa disedari.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim menegaskan bahawa isu keldai akaun tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan nama penama yang tertera pada akaun bank terbabit.
Menurut beliau, fokus utama siasatan sepatutnya tertumpu kepada pihak yang mengawal transaksi, mengeluarkan arahan, merancang skim penipuan serta menikmati habuan keuntungan daripada dana terbabit.
MHO turut menegaskan pendirian tegas bahawa pihak mereka tidak sesekali membela mana-mana individu yang terbukti bersekongkol secara sedar dan sengaja dengan sindiket penipuan.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menyuarakan kebimbangan serius terhadap nasib individu yang terperangkap akibat diperdaya atau dimanipulasi, namun akhirnya terpaksa memikul beban pertuduhan jenayah, kerugian kewangan serta trauma emosi.
Hishamuddin menjelaskan, tindakan menyiasat kes secara berasingan di pelbagai daerah dan negeri berisiko mengaburkan gambaran sebenar mengenai modus operandi dan rangkaian sindiket yang saling berkait.
Justeru, MHO merayu pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pendekatan siasatan bersepadu bagi mengelakkan pertindihan tindakan serta menjejaki dalang utama di sebalik tabir.
Beliau menambah, kejayaan membanteras jenayah komersial bukan dinilai melalui jumlah tangkapan pemilik akaun semata-mata, sebaliknya keupayaan menjejak aliran dana dan melumpuhkan perancang utama jenayah berkenaan.
“Kami mangsa, bukan mastermind. Inilah suara yang kami bawa agar keadilan ditegakkan melalui siasatan yang telus, menyeluruh dan berlandaskan fakta sebenar,” ujar beliau.
#KeldaiAkaun #PDRM #BanterasScammer #MHO #BeritaAAC