KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Kerajaan Negeri Kelantan digesa menghentikan tindakan memfailkan rayuan dan segera melunaskan bayaran ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peneroka FELCRA Bukit Tandak, Rantau Panjang seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu baru-baru ini.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Ibrahim Ali menegaskan, keputusan mahkamah tersebut membuktikan kebenaran akhirnya berpihak kepada peneroka selepas menempuh perjuangan undang-undang selama enam tahun sejak 2020.
Menurut beliau, projek ladang getah di atas tanah milik kerajaan negeri berkenaan mula diusahakan sejak 1979 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), di mana para peneroka telah membanting tulang lebih dua dekad membersihkan hutan belantara untuk menyara keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, selepas pertukaran pentadbiran kerajaan negeri kepada Pas pada tahun 1990, tanah ladang tersebut didakwa diambil semula dengan mengecilkan keluasan kepada enam ekar bagi setiap peneroka untuk diagihkan kepada pihak lain.
Malah, situasi menjadi semakin parah apabila sejumlah 203,530 batang pokok getah yang masih produktif dan mempunyai hasil lumayan didakwa telah diserahkan kontrak penebangannya kepada sebuah syarikat dari Kedah tanpa sebarang pampasan diberikan kepada para peneroka asal.
Ibrahim meluahkan rasa kesal apabila kerajaan negeri kini bertindak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, sekali gus memanjangkan penderitaan para peneroka yang rata-ratanya golongan warga emas miskin, malah ada di antara mereka termasuk Pengerusi Jawatankuasa Bertindak telah meninggal dunia sebelum sempat melihat hak mereka dikembalikan.
”Jika mempunyai hati perut dan menghayati nilai Islam, kerajaan negeri tidak perlu merayu, sebaliknya bayar sahaja RM17 juta tersebut. Di manakah slogan ‘Membangun Bersama Islam’ sekiranya tiada belas kasihan dan peneroka terus dizalimi?” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut membidas keutamaan kewangan pentadbiran negeri yang disifatkan tidak wajar apabila mampu membeli kenderaan mewah untuk kegunaan pimpinan, namun berkira dalam melunaskan hak rakyat marhaen.
”Wang kerajaan boleh digunakan untuk membeli kereta mewah bagi Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), tetapi mengapa ganti rugi kepada peneroka masih menjadi pertikaian? Jangan bertindak kejam tanpa sifat kemanusiaan,” tegasnya lagi.
Ibrahim turut mengingatkan bahawa tindakan melengahkan pembayaran melalui proses rayuan bakal merugikan wang rakyat kerana kadar faedah sebanyak lima peratus terus berjalan dan dikira setiap hari ke atas jumlah penghakiman RM17.46 juta tersebut sekiranya kerajaan negeri tewas di Mahkamah Rayuan kelak.
Selain kerajaan negeri, beliau turut menuntut FELCRA serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memikul tanggungjawab moral dan tidak berlepas tangan memandangkan agensi persekutuan tersebut merupakan pihak asal yang menaja para peneroka dalam projek ladang getah berkenaan.
#BeritaAAC #PenerokaFelcra #BukitTandak #IbrahimAli #KelantanSemasa