PUTRAJAYA, 12 Oktober 2026 — Pertubuhan Warisan Megat Raja Nusantara Malaysia bersama Yayasan Kesultanan Megat Raja Keraton Nusantara tampil membuat laporan polis susulan penularan hantaran di media sosial yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh Pengasas Pertubuhan Warisan Megat Raja Nusantara Malaysia, YM Megat Hadzlie Bin Adlan bersama Tengku Zainal.
Bercakap kepada media, Tengku Zainal menyatakan rasa kesal dan dukacita selepas menemui hantaran di Facebook yang memaparkan suntingan grafik amat memalukan membabitkan wajah Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu disifatkan melampau apabila menyunting dan meletakkan grafik haiwan yang dianggap haram dalam Islam ke atas wajah ketua-ketua pemerintah berkenaan.
Lantaran itu, mereka mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta kementerian berkaitan agar memperketat dan mempertingkatkan kawal selia ke atas platform media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Tengku Zainal turut menegaskan bahawa pengendali media sosial sepatutnya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan serta memadam kandungan berbentuk hasutan dan penghinaan terhadap Institusi Beraja atau agama Islam dalam tempoh 5 hingga 10 minit.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan menghina Institusi Diraja merupakan pelanggaran jelas terhadap Perlembagaan Persekutuan serta boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Turut hadir memberikan sokongan dalam laporan tersebut ialah beberapa wakil masyarakat berbilang kaum termasuk rakan bukan Melayu seperti Datuk Jimmy Ho yang sama-sama menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Sementara itu, YM Megat Hadzlie menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit mempertahankan adat, budaya, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu daripada terus diperlekehkan.
Pihak pertubuhan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas dan segera bagi membendung isu sensitif ini sebelum ia menimbulkan keresahan yang lebih parah dalam kalangan rakyat.
#BeritaAAC #DaulatTuanku #HinaInstitusiDiraja #PolisDirajaMalaysia #MCMC