KUALA LUMPUR , 12 Oktober 2026 — Kerajaan digesa membuktikan keberkesanan Belanjawan MADANI 2027 melalui impak sebenar terhadap poket dan kualiti hidup rakyat, bukannya sekadar bergantung kepada angka peruntukan besar dan pengumuman bantuan jangka pendek.
Timbalan Ketua Penerangan Wawasan Negara Negeri Selangor, Muhammad Yassir Arafat Kassim berkata, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan terletak pada kemampuan rakyat membeli barangan keperluan, melunaskan komitmen bulanan serta menyara keluarga secara bermaruah.
Menurut beliau, ungkapan “Mahal dah ini bukan Madani” yang kini tular mencerminkan kegusaran mendalam rakyat terbanyak yang kian tertekan dengan lonjakan kos sara hidup dan hakisan kuasa beli harian.
Justeru, beliau menegaskan rakyat tidak lagi boleh dipujuk hanya dengan bantuan berkala semata-mata, sebaliknya menuntut dasar struktur ekonomi yang berupaya membawa mereka keluar daripada belenggu kewangan.
“Rakyat bukan sekadar mahu bantuan untuk terus bertahan, tetapi mahu dasar yang membolehkan mereka hidup dengan lebih baik. Sampai bila rakyat perlu bergantung kepada bantuan tunai sedangkan punca tekanan sara hidup masih gagal diselesaikan?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muhammad Yassir menjelaskan, walaupun skim seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi kelegaan sementara kepada golongan sasar, kerajaan tidak wajar menjadikannya ‘jawapan mudah’ kepada isu struktur ekonomi yang parah.
Sebaliknya, kerajaan perlu merangka pelan komprehensif merangkumi pengukuhan gaji dan pendapatan, pemantauan harga pasaran yang tegas, pewujudan peluang pekerjaan berkualiti serta penyediaan akses perumahan mampu milik secara meluas.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib golongan berpendapatan sederhana (M40) yang sering terlepas pandang, walhal mereka memikul beban komitmen bulanan, ansuran pinjaman serta perbelanjaan pendidikan anak-anak yang tinggi sehingga wang gaji menyusut sebelum hujung bulan.
Sehubungan itu, beliau mendesak pentadbiran negara membentangkan pelan tindakan kos sara hidup dengan sasaran jelas, telus dan boleh diukur bagi membuktikan perbelanjaan dana awam benar-benar membuahkan hasil.
“Kerajaan perlu ingat, rakyat bukan hidup dengan statistik atas kertas; rakyat berdepan dengan realiti hidup. Kejayaan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan angka dalam laporan rasmi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Yassir mengingatkan kerajaan agar tidak sekadar menabur janji atau meminta rakyat bersabar tanpa langkah pembetulan yang konkrit.
“Jangan sekadar umumkan peruntukan atau jadikan kesejahteraan sekadar slogan politik. Tunjukkan hasilnya agar rakyat tidak lagi terpaksa mengeluh bahawa dasar yang diperkenalkan hanya indah pada nama,” tambah beliau.
#Belanjawan2027 #MahalDahBukanMadani #KosSaraHidup #SuaraRakyat #BeritaAAC