KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama rakan strategik rasminya, Telekom Malaysia (TM), meraikan kejayaan gilang-gemilang skuad sepak takraw negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan peruntukan insentif keseluruhan berjumlah RM160,000.
Presiden PSM, YB Dato’ Wira Sumali Reduan berkata, insentif khas itu diberikan kepada kesemua 12 pemain serta barisan jurulatih sebagai tanda pengiktirafan tertinggi atas komitmen dan pencapaian luar biasa yang melakar sejarah baharu sukan berkenaan.
Kejayaan menewaskan gergasi tradisi, Thailand, 2-0 dalam aksi final acara regu berpasukan lelaki bukan sahaja menghadiahkan pingat emas, malah menamatkan penantian panjang negara selama 36 tahun sejak temasya Beijing 1990.
Sebagai nilai tambah menerusi inisiatif ‘Gold for Gold’, TM turut menghadiahkan syiling emas peringatan khas berketulenan 999.9 serta baucar tunai kepada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang berjuang mengharumkan nama Malaysia.
Menurut Sumali, pemberian insentif bernilai RM160,000 daripada badan induk sukan itu merupakan detik bersejarah kerana julung kali PSM tampil memberikan ganjaran sebesar itu hasil inisiatif kepimpinan mereka sendiri.
Mengulas mengenai perbandingan insentif yang diterima skuad negara berbanding ganjaran lumayan di negara jiran seperti Thailand, Sumali menegaskan bahawa perbandingan sebegitu tidak perlu dijadikan isu utama.
Jelasnya, PSM telah berusaha sedaya upaya mengikut kemampuan kewangan persatuan, malah para atlet sememangnya layak menerima ganjaran tambahan lain di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta majikan masing-masing.
Bagaimanapun, Sumali menitipkan peringatan tegas kepada barisan pemain senior agar tidak sesekali berada dalam zon selesa meskipun baru mengecapi kejayaan manis di pentas Asia.
Beliau melihat jurang persaingan antarabangsa kini semakin sengit dengan kebangkitan kuasa baharu seperti Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Indonesia, serta peningkatan drastik pasukan dari Laos dan Filipina.
Menyentuh mengenai desas-desus kemungkinan pemain kebangsaan ‘disunting’ untuk beraksi di Liga Sepak Takraw Thailand, Sumali menyatakan pihak PSM sentiasa bersikap terbuka sekiranya tawaran sedemikian menjadi kenyataan.
Namun begitu, beliau menegaskan sebarang pelepasan mestilah diteliti bersama jawatankuasa tertinggi agar tidak bertindih dengan kalendar kejohanan kebangsaan mahupun program podium atlet.
Beliau optimis pendedahan di liga luar negara mampu mematangkan corak permainan atlet tempatan sekali gus memastikan Malaysia terus kekal kompetitif di persada dunia.
#SepakTakrawMalaysia #BeritaAAC #SukanAsia2026 #GoldForGold #BangkitMalaysia