
Dato’ Dr Kalaivanar Tuntut Keadilan Buat Mangsa!
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil membela nasib seorang pemuda yang berdepan kesukaran menuntut pampasan insurans hilang upaya kekal menyeluruh (Total Permanent Disability – TPD) berjumlah RM150,000 daripada sebuah syarikat insurans terkemuka bermula huruf ‘E’.
Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar mendedahkan, mangsa, Kanagarajan a/l Veeramalai (lahir 1996), ditimpa kemalangan di tempat kerja pada 30 Disember 2020 apabila terjatuh dan dihempap batu besar sehingga mengalami kecederaan parah.
Kesan daripada insiden tersebut, mangsa terpaksa menjalani pembedahan rumit dengan memasang 12 skru dan plat pada bahagian belakang badan serta dua lagi skru dan plat pada bahagian leher/dagu.
Keadaan itu menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk menelan makanan dan masalah kawalan pundi kencing sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang dan mengambil masa berjam-jam di dalam tandas.
Menurut Dr. Kalaivanar, ibu mangsa, Puan Nachi a/p Nagapan, telah mencarum dua polisi insurans untuk anaknya itu sejak tahun 2016 dengan bayaran sekitar RM500 sebulan.
Walau bagaimanapun, tuntutan faedah hilang upaya kekal sebanyak RM150,000 yang tertera dalam polisi tersebut dinafikan oleh pihak insurans dengan alasan tidak munasabah kononnya mangsa masih kelihatan elok dan boleh berjalan.
Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sendiri telah mengiktiraf keadaan mangsa dan meluluskan bayaran Pencen Ilat sejak tahun 2023 selepas laporan perubatan mengesahkan ketidakupayaan kekal mangsa.
”PERKESO yang begitu ketat syaratnya pun sudah luluskan dan bayar Pencen Ilat kerana sah mangsa mengalami Total Permanent Disability, mengapa pihak syarikat insurans swasta pula berdolih dan enggan membayar hak mangsa?” soal beliau.
Ibu mangsa turut merayu bantuan sambil menitiskan air mata kerana mereka kini memerlukan RM50,000 bagi menampung kos pembedahan susulan yang telah tertangguh selama dua tahun akibat kekangan kewangan dan ketiadaan pampasan.
Susulan itu, pihak Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara memberikan tempoh selama 14 hari kepada syarikat insurans berkenaan menerusi Surat Tuntutan (Letter of Demand – LOD) untuk memberikan penjelasan bertulis dan menyelesaikan tuntutan tersebut.
Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan dan mengambil tindakan lanjut terhadap syarikat terbabit demi menegakkan hak rakyat yang tertindas tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
#BeritaAAC #TuntutKeadilan #IsuInsurans #DatoDrKalaivanar #BelaRakyat