KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Kaum wanita di negara ini perlu diberikan peluang seluas-luasnya untuk menceburi bidang perniagaan agar berkeupayaan membina kestabilan kewangan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan pasangan semata-mata.
Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, penguasaan dalam sektor ekonomi amat penting bagi membolehkan golongan wanita memiliki perniagaan sendiri yang bermula dari skala kecil sehingga mampu berkembang ke tahap lebih besar.
Beliau menzahirkan harapan tersebut ketika menghadiri program Wanita Economic Forum (WEF) sempena persidangan G100 Global Meet 2026, yang disifatkannya sebagai platform terbaik dalam membina jaringan global usahawan serta pemimpin wanita di Malaysia.
Menurut beliau, usaha memperkasakan usahawan wanita bukan sahaja terhad kepada sektor komersial biasa, bahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut berhasrat melahirkan lebih ramai kontraktor binaan dalam kalangan wanita.
Mengulas mengenai kekangan birokrasi yang sering membataskan langkah usahawan wanita untuk melangkah ke persada antarabangsa, beliau menekankan pentingnya sinergi bersepadu antara kementerian.
Antara kementerian yang wajar memainkan peranan penting secara kolektif termasuklah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui MATRADE, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Kementerian Kewangan.
Menyentuh sasaran jangka panjang negara menjelang sambutan satu abad kemerdekaan, Ahmad Maslan menjelaskan bahawa usaha membasmi miskin tegar terus diperhebat, khususnya menerusi inisiatif agensi kebajikan dan sokongan keusahawanan.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa isu kemiskinan relatif di kawasan bandar dan nasib wanita rentan seperti ibu tunggal serta wanita yang kehilangan suami perlu terus diberi tumpuan khusus oleh kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif agensi pembiayaan mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terbukti berjaya mengubah taraf sosioekonomi ratusan ribu golongan wanita melalui bantuan modal dan bimbingan perniagaan berterusan.
Sebelum mengakhiri sesi bersama pihak media, suasana sidang media bertukar ceria apabila beliau sempat menghadiahkan dua rangkap pantun ciptaan sendiri yang memuji peranan serta jasa luar biasa golongan wanita dalam membina masyarakat dan negara.
#BeritaAAC #AhmadMaslan #UsahawanWanita #WanitaBerdikari #EkonomiMalaysia