KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Penganjuran Women Economic Forum (WEF) bersama pertemuan G100 Global Meet di International Youth Centre (IYC) Kuala Lumpur berjaya mencatat sejarah dengan menghimpunkan seramai 370 delegasi dari 18 buah negara.
Persidangan berprestij itu menampilkan 77 panel penceramah yang berkongsi kepakaran dalam 25 sesi intensif bermula pagi hingga petang, meliputi topik kepimpinan, pendidikan, serta keupayaan usahawan wanita mengembangkan perniagaan ke peringkat global.
Menurut wakil penganjur, Datin Hajah Dr Hartini Osman, majlis tersebut turut diserikan dengan majlis minum petang (high-tea) serta penganugerahan kepada lebih 71 penerima anugerah berprestij.
Antara anugerah yang disampaikan termasuk Women Leaders of the Decade, Women of the Decade, Exceptional Women of the Decade, serta pengiktirafan buat organisasi dan wanita ikonik.
Jelas beliau, pengiktirafan berkenaan diberikan kepada “ikon-ikon wanita yang tidak didendang” yang telah berhempas-pulas memacu keupayaan wanita dalam pelbagai bidang, sama ada di peringkat individu mahupun organisasi.
Anugerah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Suriani Ahmad, bersama pengerusi global (global chairs) dari pelbagai negara termasuk Singapura, Cameroon, Kenya, Slovenia, dan Amerika Syarikat.
Sebelum acara penyampaian anugerah, satu sesi meja bulat telah diadakan bersama ahli jawatankuasa penasihat dan pengerusi global bagi membincangkan akses kewangan sebagai tonggak utama pemerkasaan perniagaan wanita dari peringkat tempatan ke antarabangsa.
Menyentuh resolusi pembiayaan, Dr Hartini mendedahkan usaha sedang digerakkan untuk mewujudkan Global Women’s Bank Think Tank.
Jawatankuasa pemandu yang kini dianggotai wakil dari 18 negara telah dibentuk bagi merangka kaedah terbaik dalam menyediakan kemudahan kewangan khusus untuk usahawan wanita.
Selain itu, inisiatif Universal Woman Business Hub turut dilancarkan bagi membantu memasarkan produk dan perkhidmatan usahawan wanita dalam pelbagai sektor seperti pembuatan dan makanan ke pasaran luar negara.
Mengulas mengenai hala tuju seterusnya, beliau memaklumkan siri perbincangan ini akan diteruskan ke peringkat seterusnya menjelang program antarabangsa di New York pada Mac depan.
Ia bertujuan membentangkan dapatan serta memperkukuh rangka kerja platform Global Women’s Bank di peringkat dunia.
#BeritaAAC #PemerkasaanWanita #G100Malaysia #WanitaBisa #UsahawanGlobal