KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Penganjuran edisi kedua Women Economic Forum (WEF) bersama pertemuan global G100 membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan agenda kepimpinan serta keusahawanan wanita negara sehingga ke pentas antarabangsa.
Presiden Wawasanita Malaysia, Datin Dr Norli Hj Alias berkata, forum tahun ini merupakan kesinambungan kukuh daripada resolusi yang berjaya diangkat pada penganjuran tahun lalu.
Beliau menzahirkan rasa bangga apabila Presiden Global G100, Datin Dr Hajah Hartini Osman, bakal menamatkan tempoh khidmat setahun sebagai presiden global pada Disember ini dengan pencapaian yang luar biasa bagi Malaysia.
Menurutnya, perlantikan anak Malaysia itu di tampuk pimpinan tertinggi G100 adalah sejarah besar memandangkan organisasi antarabangsa tersebut mempunyai rangkaian lebih sejuta ahli di seluruh dunia.
Penganjuran persidangan antarabangsa ini turut menerima sokongan penuh daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Suriani, serta kehadiran YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Sokongan padu tersebut diharapkan dapat membuka ruang lebih luas kepada golongan wanita tempatan untuk ditempatkan sebagai pembuat keputusan di pelbagai kementerian mahupun agensi kerajaan.
Datin Dr Norli menegaskan, pergerakan ini didorong atas dasar inisiatif ‘pro bono’ tanpa pembiayaan luar, yang dipelopori oleh barisan NGO wanita yang komited untuk membawa suara usahawan ke tahap lebih bersepadu.
Salah satu dimensi dan mandat terbesar yang terus diperjuangkan menerusi forum ini ialah penubuhan Bank Wanita Sedunia (World’s Global Women’s Bank) bagi menangani krisis akses kepada pembiayaan yang dihadapi wanita di seluruh dunia.
Forum selama empat hari ini menghimpunkan pelbagai sayap G100 dari pelbagai negara, sekali gus memperlihatkan sokongan luar biasa terhadap kepimpinan serta pencapaian KPI yang dibuktikan sepanjang setahun lalu.
Kemuncak program ini bakal diteruskan dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Wawasanita Malaysia bertemakan Legacy Beyond Boundaries.
Majlis itu turut dijadualkan memberi penghormatan serta pengiktirafan anugerah kepada beberapa kementerian, agensi, dan tokoh utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Sementara itu, barisan Exco Wawasanita dan wakil pemimpin wanita akar umbi turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah kepada persidangan bertaraf antarabangsa ini.
#BeritaAAC #WawasanitaMalaysia #WomenEconomicForum #G100Global #PemerkasaanWanita