KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengecam sekeras-kerasnya pembakaran hutan di Indonesia yang terus berulang saban tahun sehingga mencetuskan krisis jerebu rentas sempadan yang membahayakan kesihatan serantau.
Bendahari PUTRA merangkap Ketua PUTRA Bahagian Kota Raja, Norshahrizal Nordin berkata, tindakan tegas wajib diambil segera memandangkan masalah ini seolah-olah tiada titik noktah dan dibiarkan berlarutan.
Menurut beliau, alasan kos pembersihan tanah yang tinggi sering disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memilih jalan pintas melalui kaedah pembakaran terbuka yang mudah dan murah bagi pembukaan kawasan pertanian.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian besar aktiviti pembukaan hutan tersebut melibatkan sektor ladang kelapa sawit, sama ada diterajui oleh syarikat korporat berskala besar mahupun pekebun kecil, yang kini memerlukan kawalan serta penguatkuasaan yang amat ketat.
PUTRA tidak menafikan industri sawit memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat negara jiran itu, namun menegaskan pembangunan tidak wajar mengorbankan kesihatan rakyat, kemusnahan alam sekitar, serta kesejahteraan negara-negara jiran.
Mengulas lanjut, Norshahrizal menegaskan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002 dilihat masih tumpul dan gagal berfungsi secara efektif untuk membendung pembakaran terbuka secara tuntas.
Sehubungan itu, PUTRA menggesa perjanjian serantau berkenaan disemak semula serta diperkukuh dengan kerangka penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan berani.
Antara langkah konkrit yang dicadangkan adalah penubuhan badan kerjasama khas ASEAN bagi memantau titik panas (hotspot), menyelaraskan siasatan bersama, berkongsi risikan, dan mengenal pasti dalang sebenar di sebalik bencana asap ini.
PUTRA turut menuntut agar mana-mana syarikat korporat yang terbukti terlibat melakukan pembakaran terbuka dikenakan penalti berat dan disenarai hitam daripada sebarang urusan perniagaan di seluruh negara anggota ASEAN.
Pada masa sama, Malaysia didesak supaya bertegas menuntut Indonesia mematuhi standard kelestarian minyak sawit antarabangsa, termasuk pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), di samping menggesa pasaran global mengenakan sekatan terhadap produk sawit yang merosakkan alam sekitar.
Sekiranya masalah ini terus dipandang sepi, PUTRA menegaskan ASEAN wajar mempertimbangkan tindakan perdagangan bersasar dan membawa isu pencemaran rentas sempadan ini ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tekanan global.
Tegasnya lagi, sebarang keuntungan ekonomi korporat sama sekali tidak boleh mengatasi hak asasi rakyat untuk menikmati udara yang bersih dan persekitaran yang sihat demi generasi masa hadapan.
#IsuJerebu #HentikanPembakaranHutan #TindakanASEAN #UdaraBersihHakKita #BeritaAAC