MUALIM, 19 Oktober 2026 — Isu kebajikan dan hak tanah membabitkan rakyat yang tergantung serta tidak menemui titik noktah selama lebih dua tahun akhirnya dibawa terus ke perhatian pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri sempena Program Hari Bertemu Pelanggan bersama Menteri Besar Perak di Pejabat Tanah Muallim.

Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar tampil mengetuai sekumpulan pengadu bagi menyerahkan memorandum dan dokumen berkaitan lima isu utama yang membelenggu mereka sekian lama.
Beliau memaklumkan bahawa antara aduan yang dibawa melibatkan kes Puan Saraswathi dari Sitiawan yang mendakwa kediamannya telah dirobohkan sejak Mei tahun lalu, namun proses borang dan dokumen yang dikemukakan masih belum menampakkan sebarang penyelesaian.
Selain itu, nasib serupa turut dihadapi seorang lagi mangsa, Encik Chai dari Tanjung Tualang berhubung isu ‘Suria Fishery’ yang disifatkan masih berbolak-balik tanpa jawapan tuntas daripada pihak berkuasa tempatan.

Turut dizahirkan rungutan berkaitan pertikaian tanah membabitkan Encik Gunasilan di Bidor (Banir), serta rintihan seorang pesara tentera, Encik Subramaniam, yang menuntut hak pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Dato’ Dr. Kalaivanar menyifatkan sesi bersama Menteri Besar Perak berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka.
Menurut beliau, Menteri Besar telah mengambil maklum setiap butiran masalah rakyat yang hadir dan terus meminitkan aduan berkenaan kepada jabatan serta pegawai agensi terbabit bagi tujuan tindakan lanjut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa rakyat mahukan keputusan tuntas dan berharap usaha murni turun padang itu bukan sekadar persembahan di mata umum semata-mata.
”Kita memuji inisiatif Menteri Besar yang prihatin dan mahu mendekati rakyat secara langsung, malah ia wajar dijadikan pedoman oleh pemimpin lain di seluruh negara,” katanya.
”Namun, kami amat berharap apa yang diminitkan benar-benar dilaksanakan dan diperkenankan oleh jabatan berkaitan. Kita mahu ia diselesaikan secara profesional dan berfungsi sepenuhnya, bukan sekadar sebuah ‘drama’,” tegas beliau lagi.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut menjelaskan bahawa walaupun tiada tempoh masa (timeframe) khusus yang ditetapkan semasa pertemuan tersebut, pihaknya akan terus memantau perkembangan kesemua fail kes berkenaan sehingga hak dan kebajikan mangsa terbabit dipulihkan.
#BeritaAAC #MBPerak #HariBertemuPelanggan #KeadilanUntukRakyat #IsuTanahPerak