
SEMENYIH , 21 Oktober 2026 – Keresahan melanda penduduk Kampung Sungai Pening berikutan desas-desus mengenai cadangan projek pembinaan jajaran jalan pintas yang bakal membelah kampung tradisi tersebut kepada dua bahagian.
Isu berkenaan mendapat perhatian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Selangor yang turun meninjau sendiri keadaan di lokasi selepas menerima aduan serta bantahan daripada komuniti setempat.
Penyelaras Perhubungan PUTRA Selangor, Dato’ Asmawar Samat berkata, pihaknya diamanahkan oleh kepimpinan tertinggi parti untuk turun padang bersama pimpinan lain bagi menilai kesan sekiranya projek tersebut benar-benar dilaksanakan.
Menurut beliau, surat bantahan rasmi telah pun dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor agar suara penduduk diambil kira segera.
”Pihak PTG mengesahkan bahawa cadangan jajaran itu sememangnya ada, namun ia masih belum diwartakan secara rasmi dan belum dipastikan siapa pihak pemaju sebenar di sebaliknya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Datuk Haji Siajam Buyoh meluahkan rasa kesal kerana penduduk kampung langsung tidak dijemput ke sebarang meja rundingan rasmi oleh pihak berkuasa mahupun kerajaan negeri.
Beliau menegaskan, tanah yang terjejas merupakan tanah rizab Melayu yang telah diwartakan sejak tahun 1927 dan penempatan itu sendiri sudah berusia lebih satu abad.
”Jajaran asal projek ini sebenarnya dirancang sejak awal tahun 2000 di luar kawasan kampung, tetapi kami hairan mengapa ia tiba-tiba dipindahkan masuk ke kawasan kampung Melayu sehingga membabitkan hampir 50 ekar tanah,” tegas beliau.
Penduduk mendakwa alasan kononnya jajaran diubah bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Semenyih adalah tidak munasabah kerana punca sebenar kesesakan berpunca daripada lampu isyarat di pekan berkenaan, bukannya di laluan kampung.
Selain itu, timbul persoalan mengenai status tanah rizab perkuburan berdekatan seluas kira-kira 320 ekar, yang mana sebahagian besarnya didakwa bakal diserahkan kepada pihak pemaju sebagai timbal balas projek prasarana tersebut.
Penduduk turut mempersoalkan ketelusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal kerana tiada sebarang Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) atau Penilaian Impak Sosial (SIA) yang pernah dikemukakan kepada mereka.
Bagi memastikan tindakan susulan diambil, Dato’ Asmawar menyarankan agar isu integriti dan ketidaktelusan ini dikemukakan secara rasmi melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk dibawa terus ke Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Penduduk Kampung Sungai Pening menegaskan bahawa mereka tidak menolak pembangunan, namun menuntut ketelusan dan ketegasan kerajaan negeri untuk mempertahankan hak tanah warisan mereka daripada tergadai demi kepentingan pihak tertentu.
#KampungSungaiPening #PertahankanTanahRizabMelayu #IsuSemenyih #BeritaAAC #BantahJajaranJalan