KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 — Saranan kerajaan agar rakyat dan penjawat awam beralih daripada aplikasi navigasi Waze kepada aplikasi tempatan, TuJu, mula mengundang pelbagai persoalan mengenai tahap kesediaan teknologi serta perbelanjaan dana awam.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, walaupun memahami kebimbangan Perdana Menteri berhubung isu keselamatan data yang dikaitkan dengan pemilikan Waze di Israel, peralihan secara tergesa-gesa dilihat menimbulkan banyak kepincangan.
Beliau menjelaskan bahawa percubaan peribadinya terhadap aplikasi TuJu mendapati platform berkenaan masih jauh ketinggalan dan belum bersedia untuk menandingi fungsi navigasi komprehensif seperti yang ditawarkan Waze.
Antara kelemahan paling ketara yang dialami pengguna adalah kegagalan fungsi enjin carian, di mana sistem carian kerap gagal mengesan lokasi atau destinasi yang ingin dituju.
Situasi tersebut mencetuskan tanda tanya apabila timbul dakwaan bahawa warga perkhidmatan awam diarahkan berhenti menggunakan Waze serta-merta, biarpun alternatif yang diperkenalkan masih belum stabil.
”Persoalannya, adakah kerajaan sebenarnya mahu menjadikan rakyat Malaysia, khususnya kakitangan awam, sebagai User Acceptance Test (UAT) secara percuma untuk aplikasi TuJu ini?” soal beliau.
Gulam Muszaffar turut mempersoalkan mengapa ujian menyeluruh dan fasa penambahbaikan tidak disempurnakan terlebih dahulu oleh syarikat pengendali, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia sebelum ia dilancarkan kepada umum.
Tegasnya, pengguna tempatan tidak mempunyai masalah untuk menyokong produk domestik sekiranya kualiti dan fungsinya benar-benar setanding dengan aplikasi antarabangsa sedia ada.
Justeru, beliau mendesak pihak berkuasa tampil memberi pencerahan berhubung jumlah sebenar peruntukan dana awam yang telah disalurkan bagi membangunkan aplikasi berkenaan.
Rakyat, katanya, berhak mengetahui sama ada wang awam yang dilaburkan benar-benar setimpal dengan kualiti, fungsi serta tahap kebolehgunaan aplikasi TuJu sebelum ia dipaksakan penggunaannya secara meluas.
#AplikasiTuJu #WazeMalaysia #BeritaAAC #IsuSemasa #GulamMuszaffar