KUALA LUMPUR – Ketidakpuasan hati pimpinan MCA berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan hanya sebagai isu dalaman yang boleh diselesaikan melalui rundingan meja bulat.
Penganalisis Politik, Dr Baharuddin Aziz berkata, beliau sendiri mengakui agak terkejut apabila mengetahui mengenai dakwaan tindakan beberapa pemimpin parti berkenaan yang dilaporkan meninggalkan dewan susulan isu terbabit.
Menurut beliau, insiden sedemikian tidak sewajarnya dilihat sebagai krisis besar yang meretakkan gabungan, sebaliknya ia merupakan lumrah atau ‘isu keluarga’ (family matter) dalam sesebuah gabungan parti politik.
”Bagi saya, ini hanyalah satu isu dalaman, bukan satu masalah besar. Ia seperti masalah keluarga yang sebenarnya boleh diatasi dan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika mengulas perkembangan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa satu sesi rundingan khas perlu diadakan segera antara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bersama pucuk pimpinan MCA di peringkat pusat bagi meredakan ketegangan yang berlaku.
Langkah berkenaan, jelas beliau, amat penting bagi memberi ruang penjelasan serta menenteramkan emosi para pemimpin parti komponen itu sebelum jentera digerakkan sepenuhnya.
Menurut Dr Baharuddin, rundingan itu juga bertujuan memastikan saf kepimpinan MCA benar-benar memahami serta menghayati hala tuju dan percaturan strategi yang dirangka oleh UMNO dan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
”Mana-mana keluarga sekalipun pasti ada timbul masalah dan perselisihan faham. Perkara ini perlu dibincang semula supaya semua pihak dapat bergerak seiring dengan strategi yang telah ditetapkan,” tambah beliau lagi.
Justeru, beliau yakin perselisihan faham berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon ini mampu dijernihkan sekiranya saluran musyawarah digunakan sebaik mungkin demi memastikan kestabilan gabungan menjelang hari pengundian.
#PRNMelaka #BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional #IsuCalonMCA