KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung isu pembatalan projek di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disifatkan sebagai dangkal dan bermotifkan adu domba.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Fadzmel Fadzil tampil membidas kenyataan tersebut dengan menyifatkan pemikiran Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu semakin merosot meskipun kononnya mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Menurut Fadzmel, Dr Puad sepatutnya memahami konteks sebenar kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat baru-baru ini sebelum mengeluarkan sebarang tuduhan melulu.
“Makin teruk pemikiran Dr Puad ni. Tak perlu nak melaga-lagakanlah. Ingatkan lebih berpengalaman dalam selok-belok tadbir urus kerajaan, tapi level ceplos juga rupanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzmel menegaskan, situasi yang berlaku bukanlah cerminan sikap ‘merajuk’ atau tindakan pegawai bawahan yang cuba melawan arahan menteri seperti digambarkan oleh pihak tertentu.
Menjelaskan kekeliruan itu, beliau menegaskan apa yang dimaksudkan oleh TPM ialah Ketua Setiausaha (KSU) KKDW menerima arahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan, bukannya bertindak secara sesuka hati membatalkan projek berkenaan.
“Apa yang dimaksudkan oleh YAB TPM ialah ‘diarahkan KSU Kementerian Kewangan (KSP) sedangkan peruntukan telah ada’. Atau dalam erti kata lain KSU KKDW diarahkan, bukannya beliau yang suka-suka mengarahkan pembatalan projek. Dua perkara ini sangat berbeza,” jelasnya.
Beliau menambah, KSU bertindak selaku Pegawai Pengawal yang bertanggungjawab terhadap pengurusan serta kawalan perbelanjaan kementerian di bawah Seksyen 15A Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61), tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan yang berkuat kuasa.
Oleh itu, sebarang pembatalan atau semakan semula projek di Sabah dan Sarawak berlaku akibat kekangan peruntukan serta arahan pihak berkuasa kewangan, bukan bermakna KSU bertindak mengingkari mandat menterinya.
Fadzmel turut menekankan bahawa teras isu yang dibangkitkan oleh TPM adalah mengenai kesan pengurangan peruntukan terhadap kelancaran agenda pembangunan desa luar bandar, khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak.
Mengulas mengenai spekulasi keretakan dalam kementerian, beliau mengesahkan hubungan kerja antara Ahmad Zahid dan KSU KKDW kekal kukuh, harmoni serta berada pada tahap profesionalisme tertinggi.
Kedua-dua pihak, tegasnya, kekal komited sepenuhnya dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dan kebajikan rakyat terus diutamakan tanpa sebarang gangguan sentimen politik.
#BeritaAAC #PuadZarkashi #ZahidHamidi #KKDW #PolitikMalaysia