KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Barisan Nasional (BN) Melaka mengeluarkan arahan tegas kepada seluruh jentera parti agar memperkemas gerak kerja pilihan raya dan memberikan tumpuan penuh di kesemua 21 kawasan yang bakal ditandingi.
Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa setiap undi adalah amat bernilai bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan mandat di kerusi-kerusi berkenaan.
Menurut beliau, penyelarasan menyeluruh telah diatur melibatkan pimpinan kanan parti, termasuk pelantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebagai ‘bapa angkat’ bagi membantu menggerakkan jentera di peringkat bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
”Yang penting ialah penyelarasan tentang gerak kerja pilihan raya untuk BN Melaka yang telah diberikan arahan jelas supaya semua orang mestilah menumpukan tumpuan kepada 21 kawasan yang kita pertandingkan.
”Ini termasuk bapa-bapa angkat, iaitu Ahli Majlis Tertinggi diminta untuk sama-sama membantu jentera Barisan Nasional Negeri Melaka untuk kita memastikan setiap undi amat penting bagi mempertahankan 21 kawasan tersebut,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perjanjian persefahaman berkaitan kerjasama politik, Ab Rauf mengesahkan bahawa perkara itu telah selesai dimuktamadkan dengan jayanya.
”Ia telah pun dimuktamadkan dan disempurnakan dengan baik,” jelas beliau ringkas mengenai status persefahaman berkenaan.
Mengulas mengenai penglibatan parti komponen khususnya MCA, Ab Rauf menjelaskan bahawa rundingan telah mencapai kata sepakat secara harmoni.
Beliau menambah bahawa peranan MCA sebagai wakil masyarakat Cina akan terus diperhalusi serta ditambah baik bagi memperkukuh sokongan pengundi terhadap BN.
”MCA okey, selesai… MCA terima seadanya dan pastinya penyertaan MCA mewakili kaum Cina juga diperhalusi untuk ditambah baik, insya-Allah,” ujar beliau menutup kenyataan.
#BNMelaka #AbRaufYusoh #PRNMelaka #BeritaAAC #KeluargaBarisanNasional