
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berdepan detik cemas apabila kenderaan yang ingin dijualnya lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket licik yang turut mengaitkan seorang bekas pegawai polis.
Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar mendedahkan bahawa mangsa, Vinothan Isaac Velan, telah menyerahkan kenderaan bernombor pendaftaran VLM 3528 tersebut kepada seorang ejen jualan yang dikenali sebagai Shabudin.
Difahamkan, mangsa yang membeli kenderaan baharu itu pada tahun 2023 mengambil keputusan untuk melepaskannya melalui proses permohonan pinjaman bank baharu akibat kekangan kewangan dalam membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,180 selama tujuh tahun.
Menurut Dr Kalaivanar, mangsa menegaskan urusan berkenaan bukan dibuat secara sambung bayar yang menyalahi undang-undang, sebaliknya bertujuan mencari pembeli baharu yang layak membuat pinjaman secara sah.
Namun, Shabudin didakwa telah menyerahkan kenderaan tersebut kepada seorang kenalannya bernama Radzi, iaitu seorang bekas pegawai polis berpangkat Sub-Inspektor yang kononnya bersetuju untuk menguruskan pinjaman baharu bagi membeli kenderaan itu.
Keadaan menjadi mencurigakan apabila permohonan pinjaman bank oleh individu berkenaan dilaporkan gagal, namun kenderaan milik mangsa tidak dipulangkan dan sebaliknya terus hilang tanpa jejak.
Lebih mengejutkan, kenderaan tersebut kemudian dikesan berada dalam pemilikan pihak ketiga di sekitar Sungai Buloh, yang kemudiannya bertindak menuntut bayaran tebusan sebanyak RM25,000 daripada mangsa sekiranya mahu kenderaannya dipulangkan semula.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada 5 Mei 2026 yang lalu bagi menuntut keadilan serta mengesan semula kenderaan miliknya.
Dr Kalaivanar bagaimanapun melahirkan rasa kesal dan sangsi kerana sehingga kini didakwa masih belum ada perkembangan konkrit atau pembukaan Kertas Siasatan (IP) yang jelas berhubung kes tersebut.
Tegas beliau, kes berkenaan jelas mempunyai unsur jenayah penipuan, pecah amanah serta curi kenderaan yang wajar disiasat mengikut Seksyen 406/408, Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, kelewatan siasatan meletakkan mangsa dalam risiko diisytiharkan muflis berikutan kegagalan melunaskan tunggakan bayaran ansuran kepada pihak bank pembiaya.
Sehubungan itu, pihak persatuan mendesak Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Polis Negeri agar segera mengarahkan Pegawai Penyiasat (IO) memanggil Shabudin serta bekas pegawai polis terbabit untuk dirakam percakapan.
Tindakan tegas termasuk tangkapan dan pendakwaan di mahkamah perlu disegerakan bagi membanteras sindiket penipuan kenderaan yang semakin berleluasa demi menegakkan kedaulatan undang-undang.
#BeritaAAC #PenipuanKenderaan #PecahAmanah #DatoDrKalaivanar #PDRM