
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 — Sebuah keluarga di Kampung Sri Aman, Coalfields, Sungai Bulohvterpaksa berdepan hakikat bakal menyambut ketibaan pesta cahaya, Deepavali, dalam suasana gelap gelita susulan kegagalan pihak kontraktor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambung bekalan elektrik sejak hampir enam bulan lalu.
Isu berkenaan didedahkan oleh Aktivis Sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr Kalaivanar, dalam satu sidang media bersama mangsa, Puan Christina, mewakili suaminya Murali Yelumalai, serta abangnya, Richard, bertempat di kediaman mereka di Batu 22, Jalan Kuala Selangor.
Menurut Dr Kalaivanar, mangsa telah melunaskan bayaran deposit sambungan berjumlah RM1,500 pada 13 Mei lalu kepada sebuah syarikat kontraktor bertauliah lantikan TNB, Star Point Electrical Malaysia Sdn Bhd, bagi pemasangan meter di rumah lot baharu mereka.
Bagaimanapun, sehingga 28 Oktober, kediaman yang memiliki geran sah sejak 2013 dan pendawaian lengkap itu masih belum menerima sebarang bekalan elektrik, memaksa keluarga berkenaan hidup dalam kegelapan.
Dr Kalaivanar mendakwa pihak kontraktor telah melanggar prinsip asas Seksyen 11 Akta Bekalan Elektrik 1990 apabila mengutip wang bayaran sebelum memastikan kelulusan izin laluan (wayleave) diperoleh daripada pihak berkuasa.
Lebih mengecewakan, kontraktor berkenaan didakwa bersikap lepas tangan dan mengarahkan mangsa sendiri menguruskan permohonan surat kebenaran di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Dr Kalaivanar turut mempersoalkan sikap birokrasi dan tindakan menuding jari antara agensi terlibat, termasuk PDT dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang menyebabkan proses kelulusan penanaman tiang elektrik tertangguh berbulan-bulan.
Kekecewaan mangsa kian memuncak apabila aduan yang dipanjangkan kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sejak Ogos lalu masih belum menampakkan jalan penyelesaian tuntas walaupun diberi jaminan awal.
Menurut Puan Christina, beliau terkilan dengan pelbagai alasan yang diberikan agensi terlibat sedangkan segala urusan pembayaran serta syarat awal telah dipatuhi sepenuhnya.
Dr Kalaivanar turut membandingkan kepantasan penyediaan utiliti di penempatan lain dengan nasib warganegara tempatan yang dinafikan kemudahan asas di atas tanah milik sendiri.
Sehubungan itu, SBKN mengeluarkan kata dua dengan memberi tempoh tujuh hari kepada TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menyelesaikan pemasangan tiang dan sambungan elektrik ke rumah terbabit sebelum sambutan Deepavali.
Pihaknya turut mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap kontraktor terbabit, termasuk menyingkirkan mereka daripada senarai pembekal berdaftar sekiranya terbukti mengabaikan tanggungjawab.
Sekiranya tiada tindakan diambil dalam tempoh berkenaan, Dr Kalaivanar menegaskan SBKN bersama penduduk tidak teragak-agak mengadakan sidang media susulan dan membawa isu kecuaian ini terus ke bangunan Parlimen.
#BeritaAAC #IsuRakyat #TNB #KampungSriAman #KeadilanUntukMangsa