ALOR GAJAH, 30 Oktober 2026 — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) secara rasmi mengumumkan penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.07 Gadek.

Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali (Tok Him), mengumumkan Ketua Bahagian Alor Gajah merangkap Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia, Puan Laila Norinda Maon, sebagai taruhan parti bagi kerusi berkenaan.
Menurut beliau, pemilihan anak jati Gadek yang berusia 49 tahun itu dibuat oleh Ahli Dewan Tertinggi parti selepas mengambil kira rekod perkhidmatan, kelayakan, serta komitmennya sejak penubuhan PUTRA pada 2019.

Tok Him menyifatkan calon berkelulusan Diploma Pengurusan Pelancongan itu sebagai ‘batu permata’ yang mampu memberi perkhidmatan terbaik dan tidak akan mengecewakan pengundi di DUN Gadek.
Beliau menegaskan, rakyat hari ini memerlukan wakil rakyat sepenuh masa yang benar-benar berjuang untuk kebajikan penduduk, bukannya kontraktor atau individu yang berebut kontrak serta menyalahgunakan kuasa untuk kemewahan peribadi.

Mengambil contoh trend kepimpinan global seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang kini mengangkat wanita lantang dan berani, Tok Him yakin Laila Norinda memiliki kualiti yang sama untuk bersuara di Dewan Undangan Negeri.
Dalam majlis pengumuman tersebut, Laila Norinda turut melafazkan ikrar dan sumpah taat setia dengan bersumpah atas nama Allah SWT untuk patuh kepada perlembagaan serta perjuangan parti.
Antara intipati sumpah tersebut termasuklah kesediaan dilaknat sekiranya terlibat dalam rasuah, perkara tidak bermoral, melompat parti, atau bertindak menyokong pihak lain tanpa kebenaran Ahli Dewan Tertinggi PUTRA.
Calon terbabit juga menandatangani perjanjian membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta secara serta-merta kepada PUTRA sekiranya melanggar ketetapan dan keluar parti setelah menang pilihan raya.
Tok Him menambah, walaupun PUTRA sering dipandang kecil, parti itu kekal berprinsip, bermaruah, dan menolak sebarang bentuk amalan politik hipokrit atau dwi-standard.
Mengulas mengenai saingan kerusi DUN Gadek, beliau menyatakan PUTRA sedia berdepan sebarang cabaran serta pertembungan tanpa gentar demi membela hak rakyat dan memartabatkan agama serta bangsa.
#PRNMelaka #DUNGadek #TokHim #PartiPUTRA #BeritaAAC