RAWANG, 5 November 2026 — Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Negeri Selangor tampil menyemarakkan sambutan Pesta Cahaya menerusi penganjuran Program Ziarah Sinar Kasih Deepavali di daerah Gombak, hari ini.

Inisiatif kebajikan tersebut menyaksikan empat keluarga terpilih daripada komuniti India disantuni secara langsung bagi menerima sumbangan barangan keperluan serta sokongan moral menjelang sambutan Deepavali.
Empat keluarga berkenaan merupakan sebahagian daripada 200 keluarga terpilih yang tersenarai untuk menerima manfaat program Sinar Kasih Deepavali bagi tahun 2026.
Kesemua penerima yang dibantu merupakan mereka yang tergolong dalam kategori miskin atau miskin tegar serta berdaftar secara sah di bawah pangkalan data sistem e-Kasih.

Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Haji Sakom, yang meluangkan masa menziarahi kediaman penerima terbabit.
Hadir sama menjayakan misi berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat ICU JPM Selangor, Puan Noor Hafizah Amat Janji, bersama barisan penaja, wakil media serta sukarelawan kedua-dua pihak.
Menerusi ziarah berkenaan, setiap isi rumah menerima sumbangan ‘Kotak Rezeki’ yang mengandungi pelbagai barangan makanan asas sumbangan ICU JPM Selangor.
Bagi memeriahkan suasana perayaan, penerima turut dibekalkan dengan snek dan kudapan tajaan syarikat Mamee-Double Decker Sdn Bhd serta Yayasan Food Bank Malaysia.
Selain keperluan dapur, bantuan wang tunai turut dihulurkan bagi meringankan kos persediaan dan perbelanjaan harian keluarga terbabit menjelang sambutan pesta berkenaan.
Pihak YBK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ICU JPM Selangor, Mamee-Double Decker Sdn Bhd dan Yayasan Food Bank Malaysia atas sokongan padu selaku rakan strategik utama program.
Program Sinar Kasih Deepavali ini merupakan julung-julung kali diadakan, diadaptasi daripada kejayaan program tahunan Sinar Kasih Ramadhan kendalian YBK.
Melihat kepada impak positif program perintis ini, YBK turut merancang untuk meneliti ruang dan potensi bagi memperluaskan bantuan serupa kepada komuniti lain yang memerlukan pada masa hadapan.
#BeritaAAC #SinarKasihDeepavali #YBK #ICUJPM #BantuRakyat