KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, mengumumkan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer (km) menggunakan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengundang pertikaian pelbagai pihak.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, menyifatkan kos pembinaan infrastruktur tersebut sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah berbanding nilai pasaran semasa pembinaan.
Menurut beliau, pengiraan nisbah perbelanjaan menunjukkan kos projek itu mencecah kira-kira RM2.5 juta bagi setiap satu kilometer, bersamaan RM250,000 untuk 100 meter atau RM25,000 bagi setiap jarak 10 meter.
Jelasnya, kadar tersebut dianggap melampau susulan maklum balas daripada pemain industri dan kontraktor pembinaan yang ditemuinya baru-baru ini.
”Bila saya bertanya dengan ramai rakan-rakan kontraktor, ramai mengatakan projek laluan pejalan kaki ini terlalu mahal. Tetapi saya ‘husnuzon’, kemungkinan tiang dan bumbung laluan pejalan kaki itu diperbuat atau bersalut emas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, walaupun secara prinsipnya menyokong kemudahan untuk kegunaan rakyat, rekod pembinaan lalu menunjukkan banyak laluan pejalan kaki akhirnya bertukar menjadi projek ‘gajah putih’ tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada laluan pejalan kaki sedia ada di Taman Wahyu yang didakwa terbiar membazir sehingga pernah menjadi tempat berteduh dan tidur golongan gelandangan.
Pada masa sama, Gulam turut mempersoalkan keperluan menyerap dana perolehan hasil DBKL sendiri untuk menampung projek mega berkenaan berbanding menggunakan peruntukan terus daripada kerajaan persekutuan.
Beliau berpandangan, dana sebesar RM55 juta itu sepatutnya diutamakan untuk agenda kebajikan kakitangan DBKL, khususnya golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki kediaman sendiri.
Mengikut perkiraannya, jika jumlah RM55 juta itu disalurkan bagi pembinaan kuarters atau rumah mampu milik pada kos anggaran RM180,000 seunit, DBKL berupaya menyediakan lebih 300 unit kediaman untuk warganya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar keutamaan perbelanjaan dana tersebut dinilai semula demi memastikan kebajikan warga kerja pihak berkuasa tempatan itu terbela.
”Jika diberi pilihan di antara laluan pejalan kaki berbumbung dengan pembinaan kuarters atau rumah mampu milik untuk kakitangan DBKL, mana satu yang anda setuju?” soal beliau.
#BeritaAAC #DBKL #HannahYeoh #IsuSemasa #UMNOBatu