AYER LIMAU, 5 November 2026 – Memasuki hari kelima tempoh berkempen, perjalanan jentera Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dilaporkan berjalan lancar dengan sokongan padu daripada seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Calon BN nombor dua, Datuk Hj Hameed Basheer, melahirkan rasa syukur atas gerak kerja teratur yang turut mendapat kerjasama strategik rakan parti gabungan di bawah naungan permuafakatan politik semasa.
Beliau menjelaskan bahawa keserasian yang terjalin bukanlah perkara baharu atau dibuat-buat demi pilihan raya semata-mata, sebaliknya telah dipupuk sejak awal pentadbirannya sebelum ini.
Menyentuh mengenai cabaran kategori pengundi muda yang kini merangkumi kira-kira 53 peratus pengundi di kawasan tersebut, Hameed menegaskan bahawa beliau tidak mengambil pendekatan bermusim.
”Saya tidak bermula fokus dalam tempoh dua minggu kempen ini sahaja. Di Ayer Limau, kita sudah lengkap dengan lapan modul khas untuk anak muda merangkumi peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kebajikan serta masa depan generasi belia terus menjadi keutamaan menerusi penubuhan Kelab Mahasiswa DUN Ayer Limau, penganjuran pelbagai karnival kerjaya (Job Fair), latihan TVET, serta program rekreasi berkala.
Beliau turut menambah bahawa golongan muda tidak pernah dipinggirkan sepanjang hampir lima tahun beliau mengurus tadbir kawasan berkenaan, sekali gus meletakkan keyakinan bahawa kelompok itu akan terus memberi mandat kepadanya.
Sebagai penyandang kerusi, Hameed mengharapkan sokongan dan majoriti undi dapat dipertingkatkan lagi berbanding pencapaian lalu.
Beliau optimis bahawa rekod perkhidmatan yang menterjemahkan janji kepada realiti—meliputi kebajikan, pembangunan infrastruktur, hingga ke modal insan—mampu meyakinkan pengundi tempatan.
Mengenai kehadiran tokoh-tokoh luar atau kepimpinan berprofil tinggi (‘top gun’) yang turun membantu kempennya, beliau menyifatkan rangkaian sokongan luar itu amat penting bagi merealisasikan aspirasi pembangunan setempat.
Mengulas mengenai pergerakan kempen pihak lawan yang turut menampilkan pemimpin utama di kawasan sekitar Parlimen Masjid Tanah, beliau menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
Walau bagaimanapun, beliau yakin rakyat dan pengundi di Ayer Limau cukup matang untuk menilai hasil kerja nyata Barisan Nasional berbanding sekadar mendengar retorik slogan.
Beliau menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri sebelum ini telah berjaya menyelesaikan hampir 80 peratus isu akar umbi masyarakat sebelum bermulanya pilihan raya kali ini.
#DUNAyerLimau #HameedBasheer #PRNMelaka #BarisanNasional #BeritaAAC