KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – Keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Bossku’, menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah disambut dengan rasa syukur dan gembira oleh para penyokongnya.
Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menyatakan bahawa kepulangan Najib ke pangkuan keluarga sedikit sebanyak membawa kelegaan dan kegembiraan kepada seluruh rakyat yang setia menyokong beliau.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan memberikan tahanan rumah tersebut kepada bekas pemimpin negara berkenaan.
Selain itu, Thanenthiran merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkan berusaha gigih menggembleng tenaga bagi mengumpul dana derma mencukupi RM50 juta dalam tempoh yang singkat.
Menurut beliau, kejayaan mengutip dana tersebut membuktikan solidariti UMNO serta kesungguhan rakan-rakan yang sentiasa komited membantu Najib.
Thanenthiran turut mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakan usaha berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, agar tidak lagi berdolak-dalih dan segera menunaikan janji yang pernah dibuat sebelum ini.
Beliau mendakwa Anthony Loke pernah menyatakan pendirian berprinsip bahawa beliau akan meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah.
Sehubungan itu, Thanenthiran menegaskan bahawa hari ini sewajarnya menjadi hari terakhir buat Anthony Loke memegang portfolio di Kementerian Pengangkutan.
Beliau menambah, peletakan jawatan pemimpin DAP itu merupakan antara perkara yang amat dinanti-nantikan oleh para penyokong Barisan Nasional dan UMNO.
#Bossku #NajibRazak #MakkalSakti #AnthonyLoke #BeritaAAC