KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 6 November 2026 disifatkan sebagai titik mula satu “rencana licik dan jelik” untuk terus menahan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak di penjara tanpa justifikasi perundangan yang sah.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Hasnal Rezua Merican mendakwa, kekeliruan yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan awam itu dilihat sengaja dirancang demi menafikan pelaksanaan perintah tahanan di rumah yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, Perintah Pengampunan bertarikh 18 September 2026 jelas menetapkan bahawa Najib layak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda berjumlah RM50 juta.
Hasnal menegaskan perkataan ‘tertakluk’ difahami secara meluas oleh semua pihak sebagai prasyarat utama pelaksanaan perintah tahanan rumah berkenaan, bukannya pelupusan terus hukuman penjara.
Jelasnya, Jabatan Penjara Malaysia sendiri tidak pernah terkeliru sebelum ini apabila terus menahan Najib di penjara selagi denda RM50 juta tersebut belum dijelaskan sepenuhnya.
Pada masa sama, pasukan peguam Najib mahupun seluruh ahli UMNO yang menggerakkan Tabung Solidariti Najib Razak faham akan syarat terbabit dan tidak pernah menuntut pelepasan awal sebelum dana denda itu mencukupi.
Malah, Hasnal membidas AGC yang sebelum ini langsung tidak pernah membangkitkan sebarang isu atau kemungkinan wujudnya dua interpretasi berbeza mengenai frasa perintah pengampunan tersebut sepanjang tempoh kutipan berjalan.
Namun, sebaik sahaja denda RM50 juta diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026, AGC didakwa secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan media kononnya wujud kekeliruan undang-undang.
Beliau menolak hujah AGC yang mengaitkan kekeliruan berkenaan dengan Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Menurut Hasnal, adalah tidak munasabah dari sudut logik perundangan untuk menganggap istilah ’discharge’ bagi pembayaran denda membawa maksud melupuskan baki hukuman penjara yang masih berjalan.
Tegasnya lagi, walaupun perintah mahkamah menyebut pelepasan serta-merta dibuat atas bayaran denda, Najib hakikatnya masih tertakluk untuk menjalani baki pemenjaraan secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Hasnal turut menegaskan bahawa AGC sama sekali tidak memiliki kuasa atau bidang kuasa undang-undang untuk menangguhkan perintah pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong secara unilateral.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar sebarang persoalan interpretasi tidak dijadikan alasan untuk terus mengekalkan Najib di penjara, sebaliknya proses tahanan rumah mesti dimulakan serta-merta demi menegakkan keadilan.
#BeritaAAC #NajibRazak #TahananRumah #JabatanPeguamNegara #KeadilanUntukNajib