KUALA LINGGI, 7 November 2026 — Keputusan berkaitan isu penahanan di rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mencetuskan gelombang rasa kecewa dan sedih yang mendalam dalam kalangan akar umbi UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, reaksi itu tercetus selepas harapan tinggi yang disandarkan sebelum ini bertukar menjadi kekecewaan dalam tempoh yang amat singkat.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima daripada segenap lapisan ahli parti di peringkat bawah jelas menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung perkembangan terbaharu itu.
”Saya dapat maklum balas daripada semua akar umbi, memang sangat-sangat kecewa dengan keputusan itu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menjelaskan, ketika khabar awal tersebar bahawa Datuk Seri Najib bakal dilepaskan atau pulang, ia disambut dengan keterujaan luar biasa bukan sahaja oleh ahli UMNO, bahkan rakyat biasa yang mengenang jasa bekas pemimpin negara itu.
Bagaimanapun, suasana gembira itu terpadam apabila timbul perkembangan sebaliknya hanya beberapa jam kemudian, sekali gus disifatkan sebagai ‘menarik balik’ kegembiraan yang baru sahaja dirasai.
Mengulas lanjut, Azhari berharap keputusan berkenaan dapat dipertimbangkan semula secara adil memandangkan ia melibatkan keputusan serta titah yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, daripada sudut pandangan orang awam, titah dan perkenan yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda sewajarnya dijunjung dan dilaksanakan sepenuhnya.
Ketika ditanya mengenai desakan dan kemungkinan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara (AG) berhubung isu berkenaan, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan.
Azhari menegaskan, pihaknya kini sedang menunggu arahan rasmi daripada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
”Kemungkinan besar (ada laporan polis). Kita tunggu arahan… jika ada, saya rasa perkara ini akan diselaraskan di semua peringkat merangkumi Nasional, negeri dan bahagian,” ujarnya.
Beliau menambah, sebarang langkah dan ketetapan seterusnya akan dibuat secara berdisiplin mengikut saluran parti sebaik sahaja arahan rasmi dikeluarkan.
#BeritaAAC #NajibRazak #AkarUmbiUMNO #TahananRumah #PolitikMalaysia