KUALA LINGGI, 7 November 2026 – Peguam merangkap Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, menzahirkan rasa terkilan dan kecewa terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan kenyataan media berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Imran, langkah AGC mengeluarkan kenyataan berkenaan isu perundangan selepas perintah mahkamah dikeluarkan adalah sesuatu yang janggal serta tidak mengikut proses perundangan yang betul.
Beliau menegaskan, sebagai sebuah badan eksekutif, AGC sepatutnya membawa sebarang bantahan atau persoalan undang-undang melalui proses mahkamah yang sah menerusi notis usul, bukannya sekadar membuat kenyataan media.
Tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan pihak mahkamah telah pun mengeluarkan perintah pelepasan (order of discharge upon payment of fine) sejurus pasukan peguam Datuk Seri Najib melunaskan bayaran denda berjumlah RM50 juta.
Imran turut mempersoalkan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) sekiranya sesuatu proses perundangan boleh disekat di pertengahan jalan, sambil menyifatkan bantahan lewat AGC tersebut sebagai satu tindakan afterthought (fikiran terkemudian).
Beliau menyamakan situasi tersebut dengan nasib orang awam, di mana sekiranya hukuman denda telah diselesaikan oleh waris atau keluarga, penangguhan pembebasan banduan atas alasan semakan lanjut adalah tindakan yang tidak adil.
Sehubungan itu, Imran menyokong penuh kenyataan barisan peguam bela Datuk Seri Najib agar Jabatan Penjara Malaysia segera melaksanakan perintah pelepasan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah tanpa sebarang kelewatan.
Jelas beliau, kegagalan mematuhi perintah itu bukan sahaja melanggar titah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, malah berisiko mendedahkan pihak berkaitan kepada tindakan mahkamah seperti tahanan salah (false imprisonment) dan menghina mahkamah (contempt of court).
Menyentuh dakwaan kes-kes lain melibatkan 1MDB, Imran menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi halangan kerana kediaman Datuk Seri Najib telah pun diwartakan sebagai tempat tahanan atau penjara yang sah di bawah Akta Penjara.
Beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya wujud campur tangan atau tekanan luar terhadap AGC sehingga menjejaskan kebebasan badan kehakiman dan institusi perundangan negara, sambil menggesa Menteri Undang-Undang tampil memberi penjelasan yang lebih tegas dan telus.
#NajibRazak #BeritaAAC #TahananRumah #PemudaUMNO #KedaulatanUndangUndang