MELAKA – Isu membabitkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka bukan sahaja memberi tempias terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah berpotensi mengubah lanskap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar berkata, sentimen rakyat ketika ini dilihat semakin meluap susulan ketidakpuasan hati terhadap corak urus tadbir kerajaan yang didakwa penuh dengan pelbagai sandiwara dan provokasi.
Menurut beliau, perkara-perkara yang sepatutnya mampu diselesaikan secara baik dilihat terus berlarutan tanpa penyelesaian tuntas daripada pihak pentadbiran.
Beliau turut menegaskan bahawa kemelut membabitkan AGC dalam kes Najib bukanlah isu terpencil yang pertama, sebaliknya merupakan insiden besar kedua selepas rentetan isu tidak selesai di Negeri Sembilan.
Jelas Dr. Norman, kegagalan menangani masalah di Negeri Sembilan sebelum ini—termasuk kemelut pentadbiran, adat, dan institusi berkaitan—seolah-olah membuka mata masyarakat mengenai punca sebenar kelemahan tadbir urus negara ketika ini.
”Rakyat sendiri boleh menilai mengapa isu-isu tersebut berpanjangan dan kes membabitkan Datuk Seri Najib ini semakin memperjelaskan pihak mana yang sebenarnya bermasalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau melihat perkembangan mutakhir ini bakal memberi impak langsung dengan ‘membenamkan’ lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).
Beliau tidak menolak kemungkinan penolakan pengundi terhadap gabungan berkenaan akan berlaku secara terang-terangan dan berskala besar pada PRN Melaka kelak.
Tambah beliau, gelombang penolakan ini dijangka kekal sehingga PRU seterusnya memandangkan keputusan di Melaka bakal meletakkan tekanan politik yang sangat kuat kepada kepimpinan negara.
Tekanan tersebut, menurutnya, berpotensi mendesak Perdana Menteri (PMX) untuk mempertimbangkan Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat.
Langkah itu dilihat perlu sekiranya mandat baharu daripada rakyat diperlukan untuk menstruktur semula wakil rakyat di Parlimen demi kestabilan pentadbiran negara.
Dr. Norman berpendapat, proses pilihan raya sahaja yang mampu memulihkan keyakinan dan menghentikan kepincangan serta ketidaktentuan yang sedang memberi kesan buruk kepada rakyat.
#PRNMelaka #PolitikMalaysia #IsuAGC #PakatanHarapan #BeritaAAC