MELAKA, 9 November 2026 — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Politik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Mohd Razlan Rafii meluahkan rasa kesal dan mempersoalkan tindakan Peguam Negara (AG) yang didakwa memperlekehkan proses perundangan berhubung isu pelaksanaan tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau mempertikaikan tindakan pihak Jabatan Peguam Negara yang didakwa sengaja mencari pertikaian teknikal membabitkan penggunaan istilah dan ayat pada resit pembayaran saman serta denda yang telah dijelaskan oleh pihak Najib.
Menurut Razlan, denda sebanyak RM50 juta telah pun dibayar seawal jam 10 pagi seperti yang ditetapkan, selaras dengan kenyataan dan syarat yang sebelum ini dikeluarkan oleh pihak AG sendiri bagi membolehkan tahanan rumah dilaksanakan.
Jelas beliau, proses pembebasan atau peralihan ke tahanan rumah sepatutnya diteruskan tanpa halangan kerana ia merupakan ketetapan yang telah diputuskan oleh mahkamah serta Lembaga Pengampunan.
Razlan menegaskan, sekiranya pihak AG mempunyai keraguan atau pertikaian terhadap dokumen berkenaan, mereka sepatutnya membawa perkara tersebut kembali ke mahkamah menerusi saluran yang betul tanpa menjejaskan atau menggantung proses pemindahan Najib ke tahanan rumah.
Beliau turut melahirkan rasa curiga bahawa wujud elemen campur tangan politik dalam kelewatan tersebut dan menempelak reaksi awal pemimpin tertentu yang dilihat sengaja mempolitikkan status kebebasan bekas perdana menteri itu.
Menurut beliau lagi, persiapan untuk membawa Najib keluar ke tahanan rumah sebenarnya telah dibuat oleh pihak penjara sejurus pemeriksaan kesihatan selesai, namun proses tersebut terbantut akibat pertikaian teknikal yang tidak munasabah.
Mengulas lanjut, Razlan menyatakan bahawa tindakan pihak berkuasa perundangan yang dilihat seolah-olah memperkotak-katikkan prosedur ini telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal undang-undang terhadap integriti dan kebebasan institusi Peguam Negara daripada pengaruh politik.
Tegasnya, rakyat perlu sedar akan kepincangan ini dan beliau melihat sudah tiba masanya mandat dikembalikan kepada rakyat bagi memastikan kedaulatan undang-undang serta keluhuran perlembagaan negara sentiasa terpelihara.
#BeritaAAC #NajibRazak #RazlanRafii #TahananRumah #PolitikMalaysia