MELAKA, 10 November 2026 – Selepas ratusan laporan polis dibuat, tindakan yang sepatutnya berlaku akhirnya mula dilaksanakan demi menegakkan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa sejak dari awal lagi, proses mahkamah terhadap Datuk Seri Najib dilihat amat tidak adil sehingga menjadikannya mangsa kezaliman.
Justeru, beliau menyambut baik sekiranya Najib sekurang-kurangnya dibenarkan pulang ke rumah melalui pelaksanaan tahanan di rumah, sambil menzahirkan harapan agar tokoh pemimpin itu dibebaskan sepenuhnya tidak lama lagi.
”Orang-orang yang sepatutnya bersalah dan dikenakan tindakan, mereka lari. Kenapa Datuk Najib tidak lari? Sebab beliau yakin dirinya tidak bersalah,” tegas Ahmad Maslan ketika ditemui media.
Beliau menambah, keberanian Najib untuk berdepan proses undang-undang dan membersihkan namanya membuktikan integriti beliau, berbeza dengan pihak tertentu yang memilih melarikan diri ke luar negara.
Ahmad Maslan turut menyifatkan pihak yang melarikan diri itulah sebenarnya pihak yang bersalah dan insiden ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar sentiasa menegakkan kebenaran tanpa prejudis.
Mengulas mengenai desas-desus ada pemimpin DAP yang berhasrat meletakkan jawatan susulan perkembangan berkenaan, Ahmad Maslan menegaskan keputusan itu adalah kehendak individu tersebut sendiri dan bukan atas desakan sesiapa.
Namun, beliau menyifatkan tindakan atau ugutan sedemikian jelas melambangkan sikap DAP dan barisan kepimpinannya yang tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.
”Kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membolehkan Baginda mengampunkan, memendekkan hukuman, mahupun mengurangkan denda. Jika mereka hormat, mereka tidak perlu meletak jawatan,” jelasnya.
Menurut Ahmad Maslan lagi, sikap enggan menghormati hak prerogatif institusi diraja inilah yang menjadi antara faktor utama mengapa parti DAP sukar diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini.
Beliau berharap seluruh kemelut perundangan ini dapat diselesaikan dengan adil dalam masa terdekat demi maruah dan keadilan buat Datuk Seri Najib.
#BeritaAAC #AhmadMaslan #NajibRazak #KeadilanUntukNajib #PolitikMalaysia