MELAKA, 12 November 2026 – Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk memenangi lebih daripada 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada hari Sabtu ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, keyakinan tersebut berlandaskan prestasi cemerlang pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr Ab Rauf Yusoh serta faktor penyatuan ummah yang mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara parti-parti besar.
Menurut beliau, berdasarkan simulasi data Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, gabungan undi BN sebanyak 29 peratus dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 31 peratus telah membentuk majoriti 60 peratus di Melaka.
”Apabila penyatuan ini berlaku, di atas kertas kita sudah mempunyai asas kemenangan yang kukuh. Namun, kunci utama pada hari Sabtu nanti adalah memastikan seluruh ‘pengundi putih’ kita keluar menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan mesra di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut mendedahkan wujud perubahan ketara dalam sentimen masyarakat serta peniaga Cina yang dilihat mula beralih menyokong BN, sama seperti gelombang yang berlaku di Johor sebelum ini.
Jelasnya, maklum balas yang diterima daripada beberapa negeri termasuk Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan menunjukkan golongan peniaga kurang senang dengan beberapa dasar kerajaan pusat seperti pelaksanaan e-Invois, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta pelbagai cukai lain.
Sementara itu, kempen BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal terus diperkukuh dengan sokongan padu dua bekas wakil rakyatnya, Datuk Ab Wahab Ab Latip dan Datuk Zahari Abd Kalil yang turun padang membantu calon baharu, Cikgu Mustafa.
Ahmad Maslan menyifatkan kesediaan kedua-dua pemimpin veteran tersebut untuk terus berbakti walaupun tidak lagi dicalonkan sebagai bukti jiwa kental dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan parti.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Zahari menyatakan beliau berlapang dada dan komited membantu Mustafa demi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat di DUN Durian Tunggal terus terbela.
Senada dengan beliau, Ab Wahab menyeru pengundi agar mengekalkan momentum pembangunan infrastruktur, termasuk projek penyuraian trafik yang telah dirintis sebelum ini, dengan terus memberi mandat kepada BN.
”Jangan kita serahkan kawasan ini kepada pihak lain sehingga pembangunan menjadi hilang punca. Eloklah kita kekalkan legasi Barisan Nasional di bawah kepimpinan baharu demi masa depan Durian Tunggal yang lebih baik,” tegas Ab Wahab.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan turut menyeru semua pengundi luar termasuk anak-anak jati Melaka yang menyokong BN, UMNO, dan PAS agar pulang mengundi pada hujung minggu ini bagi menentukan pembentukan kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
#PRNMelaka #BarisanNasional #DurianTunggal #BeritaAAC #MelakaMemilih