#baruaahlong | “Orang luar khususnya peminjam hutang, banyak tidak tahu kisah sebenar di sebalik barua yang buat duit”
Demikian pendedahan Ketua Perunding Unit Banteras AhLong Darul Mustaqim (DM), Adam Mustapa atau lebih dikenali sebagai Along DM.
Dakwanya, sehingga kini ramai yang masih ‘dibutakan’ dan dikelirukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lagaknya seperti beria-ia membantu mangsa kejar ahlong atau pemiutang tidak berlesen.
“Orang kena faham, DM bukan organisasi, yang bergerak untuk ambil duit orang, DM didaftar di bawah yayasan korporat, Yayasan Madad Malaysia.
“Yang lain-lain PPIM, Semboyan itu di bawah NGO,” menurutnya.
Justeru, menurut Along DM, kebanyakan NGO-NGO perunding yang dilihat mahu membantu mangsa ahlong ini hanya lakonan ‘hero’ dengan watak suci kononnya boleh menyelesaikan hutang.
“Kebanyakan NGO ‘menyamar’ perunding, tetapi sebaliknya, mengambil keuntungan daripada kesusahan orang lain.
“DM hadir untuk uar-uarkan pada umum, tak perlu pun bayar kepada barua-barua ini, kerana sebenarnya sendiri pun boleh selesai masalah hutang.
“Yang penting, ada cara dan kaedah yang tepat,” tegasnya yang turut menasihatkan kepada mereka yang mahu meninjam ahlong supaya lebih berhati-hati dan menyemak dahulu latarbelakang pemiutang sebelum dipagut lintah darat.
“Kalau hanya sekadar bercakap nak mengkayakan pihak ahlong, sampai bila-bila tak habis (hutang),” ujarnya yang pernah terjebak dalam dunia ahlong kira-kira 15 tahun.
Jelasnya lagi, DM beroperasi melalui bantuan pendekatan ‘on hand based’, bermakna bayaran balik kepada ahlong adalah sebagaimana jumlah asal yang dipinjam peminjam, tanpa baki faedah yang mencekik darah.
“DM bagi syarat sama ada bayaran upah berbentuk tunai atau mengaji al-Quran dalam tempoh tiga bulan, tiga seminggu pada sebelah malam,” katanya.
Along DM ditemui AATVNews pada program Majlis Makan Malam Haul Pak Su Mid Ke-4, bertemakan Sebuah Pertemuah, Sebuah Perubahan anjuran Pusat Pengajian Al-Quran & Fardhu Ain di Sentul, pada Rabu.
Pada program itu, turut ditayangkan rakaman video mengenang Tuan Guru Pak Su Mid, perkongsian anak murid dan ucapan wakil pengasas DM.