MELAKA, 13 November 2026 – Parti Makkal Sakti Malaysia menyuarakan keyakinan penuh bahawa Barisan Nasional (BN) bakal kembali membentuk kerajaan negeri dengan kemenangan bergaya apabila rakyat Melaka keluar mengundi esok.
Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, keyakinan itu berlandaskan kerja keras tanpa henti seluruh jentera parti komponen dan rakan-rakan BN yang bertungkus-lumus siang dan malam di 21 kerusi yang ditandingi.
Menurut beliau, penganjuran majlis sambutan Deepavali yang diadakan hari ini bukanlah sekadar acara bermusim menjelang pilihan raya, sebaliknya merupakan tradisi tahunan parti itu sejak hampir 18 tahun lalu bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli, khususnya di negeri ini.
Mengulas mengenai momentum kempen di peringkat akar umbi, Thanenthiran menegaskan jentera Makkal Sakti di semua bahagian termasuk di DUN Gadek, Masjid Tanah, Durian Tunggal, Asahan dan Tanjung Bidara telah memberikan komitmen luar biasa bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.
Beliau turut memuji kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat, prihatin serta terbukti komited dalam memacu pembangunan negeri Melaka.
“Pastinya esok rakyat Melaka akan membirukan semula negeri ini dan memilih kestabilan di bawah pemerintahan Barisan Nasional apabila keputusan diumumkan malam esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Thanenthiran membidas tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat terus-menerus memainkan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
Beliau menyifatkan gabungan pembangkang itu kini sudah ‘hilang kompas’ dan sekadar menggunakan taktik tersebut untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan serta pergolakan dalaman parti mereka sendiri.
Tambah beliau, tindakan segelintir ahli Parlimen serta pimpinan PH yang bertindak keluar parti sebelum ini jelas membuktikan krisis keyakinan terhadap kepimpinan gabungan berkenaan semakin meruncing.
“Lagi banyak mereka menyebut nama Najib, lagi banyak undi yang akan mengalir kepada Barisan Nasional kerana rakyat sudah sedar dan dapat menilai segala janji serta pembohongan mereka sebelum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi di Melaka agar keluar beramai-ramai seawal pagi esok untuk menunaikan tanggungjawab mereka demi menjamin masa depan negeri yang lebih stabil dan makmur.
#BeritaAAC #PRNMelaka #BirukanMelaka #MakkalSakti #BarisanNasional