KUALA LUMPUR , 16 November 2026 – Kerajaan digesa tampil memberikan penjelasan profesional serta justifikasi teknikal berhubung cadangan penetapan kadar premium nominal sebanyak RM1,000 bagi pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) untuk tempoh 99 tahun.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pengurangan hampir 100 peratus—atau tepatnya 97.8 peratus—berbanding anggaran premium asal sebanyak RM4.67 juta itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan, akauntabiliti dan konsistensi dasar pentadbiran tanah negara.
Menurut beliau yang juga seorang perancang bandar berpengalaman, isu berkenaan tidak wajar dilihat daripada lensa politik semata-mata, sebaliknya perlu diteliti secara serius dari sudut pengurusan guna tanah serta perancangan bandar.
”Kita bercakap tentang perbezaan yang sungguh besar antara RM4.67 juta dengan bayaran nominal hanya RM1,000 sahaja. Ini bukan jumlah kecil yang boleh dianggap sekadar pelarasan kewangan biasa,” katanya ketika mengulas isu yang hangat diperdebatkan di media sosial itu.
Beliau menegaskan kerajaan perlu mendedahkan kaedah penilaian serta kriteria sebenar yang digunakan sehingga kelulusan kadar nominal tersebut diberikan, sama ada ia berlandaskan status warisan negara, kepentingan sosial, kategori institusi ataupun kemampuan kewangan.
Tambah beliau, sekiranya penilaian asal RM4.67 juta itu adalah sah dan tepat, keputusan menurunkan kadar berkenaan dikhuatiri bakal mencipta satu duluan (precedent) yang boleh dituntut oleh pemilik premis lain apabila tempoh pajakan mereka tamat kelak.
”Saya tidak menolak kuasa budi bicara pihak kerajaan, namun setiap perkara yang diputuskan memerlukan justifikasi yang jelas dan perlu ada pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut menyifatkan langkah tersebut sebagai satu layanan istimewa yang dilihat membelakangi asas prinsip kesamarataan sosioekonomi.
Jelasnya, kebanyakan premis sedemikian diberikan semasa era pentadbiran British dahulu yang menyaksikan berlakunya pengasingan penempatan dan ekonomi antara kaum—di mana masyarakat Melayu tertumpu di kampung, kaum India di estet, manakala masyarakat Cina dibenarkan menetap serta memiliki aset di kawasan bandar.
Justeru, beliau berpandangan tamatnya tempoh pajakan 99 tahun pada era pascamerdeka ini merupakan peluang terbaik buat kerajaan untuk melakukan pelarasan semula demi merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi, khususnya di ibu negara.
”Apabila semua premis ini bakal tamat tempoh pajakan mereka, inilah peluang untuk kerajaan mendapatkan semula aset-aset strategik di kawasan bandar besar bagi tujuan penyusunan semula yang lebih adil,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan menggariskan secara telus apakah keistimewaan mutlak yang dimiliki premis berkenaan sehingga layak menerima pengecualian premium sedemikian rupa berbanding kepentingan pembangunan bandar yang lebih menyeluruh.
#BeritaAAC #IsuTanahKL #KLSCAH #KetelusanKerajaan #ThisIsKepong